Undi18: Pendidikan, pekerjaan, perumahan faktor penentu golongan muda - Thomas Fann
Sinar Harian
Februari 12, 2022 07:00 MYT
Februari 12, 2022 07:00 MYT
SHAH ALAM: Pendidikan, kerjaya dan perumahan merupakan faktor utama yang akan menentukan pengaruh pola undian kepada golongan muda khususnya kepada Undi18.
Pengerusi Bersih, Thomas Fann berkata, faktor tersebut perlu dimainkan oleh setiap parti untuk menarik hati golongan anak muda kerana mereka adalah masa depan negara.
“Mereka perlu bercakap tentang dasar-dasar atau polisi yang menarik dan utama serta dekat di hati pengundi muda seperti isu pendidikan, pekerjaan serta perumahan.
“Isu yang penting kepada anak muda adalah soal pendidikan yang baik, berkos rendah atau bukan satu bebanan yang besar untuk mereka.
“Dan seterusnya akan menyediakan peluang pekerjaan untuk mereka,” katanya dalam temu bual eksklusif berkaitan Undi18.
Thomas berkata, negara juga perlu menyediakan satu polisi yang boleh menjadikan peluang pekerjaan yang berpendapatan tinggi.
"Kita mahu anak muda mendapat peluang pekerjaan dengan upah yang lumayan, itu yang paling penting,” ujarnya.
Tambah beliau, golongan itu juga turut memerlukan perumahan mampu milik yang boleh membantu mereka untuk memulakan keluarga.
Menurutnya, tawaran perumahan yang sedia ada sekarang lebih kepada mereka yang berpendapatan tinggi atau sederhana tinggi.
“Contoh seperti di Johor Bahru dan kawasan sekitarnya banyak kondominium tetapi yang berharga sampai RM1 juta atau lebih dan banyak kosong.
“Tetapi rumah mampu milik memang tidak cukup dan banyak daripada mereka menunggu. Itu adalah satu polisi yang salah.
“Jadi, kita perlu anak muda supaya beri tekanan kepada sesiapa yang nak menang undi mereka, polisi hendaklah diubah.
“Kita tidak perlu kondominium yang mewah untuk pelabur dari luar negeri tetapi kita perlu rumah mampu milik untuk orang kita,” jelasnya.
Dalam pada itu, Thomas berkata, polisi Undi18 itu memperlihatkan kematangan sistem politik negara dan merupakan satu langkah yang baik walaupun terlewat.
Tambah beliau, kebanyakan negara matang dan maju di dunia telah membuka ruang kepada anak muda 18 tahun untuk membuang undi.
“Ini perlu dan mesti dilakukan. Saya banyak kali berkata sekiranya seseorang berumur 18 tahun boleh dikenakan hukuman gantung kalau dia lakukan jenayah kenapa tidak boleh jadi pemilih?
“Jika 18 tahun boleh jadi askar dan mati untuk negara, mengapa tidak boleh buat untuk mengundi?” katanya.
Walau bagaimanapun, Thomas berkata, pelaksanaan Undi18 itu juga akan memberi tekanan besar kepada parti-parti politik untuk meletakkan calon yang lebih muda.
“Ini akan beri peluang kepada sayap-sayap Pemuda dan Puteri untuk dicalonkan oleh parti mereka.
“Kerana kebanyakan orang muda ini rasa calon muda lebih fahami kehendak mereka,maka ia akan jadi satu tekanan hebat kerana di negara kita, purata umur wakil rakyat sudah agak lanjut.
“Ada parti yang purata umur wakil rakyat mencecah 60, 50 atau 40 tahun, tetapi dengan ini (Undi18), saya percaya ada tekanan untuk mereka letakkan calon yg lebih muda,” ujarnya beliau.
Tambah Thomas, untuk meraih undi anak muda bukan satu jalan yang mudah dan memerlukan publisiti serta pendidikan awam.
Menurutnya, kerajaan perlu merangka satu pelan jangka masa panjang untuk menjadikan Undi18 sebagai satu insentif pendidikan sivik kepada murid-murid.
“Kita perlu ada program dalam pendidikan dimana setiap murid akan faham peranan mereka sebagai seorang rakyat, hak mereka dalam Perlembagaan dan tanggungjawab mereka untuk memainkan peranan sebagai pengundi atau ahli politik.
“Jadi pada saya ini adalah satu ‘catalyst’ di mana kita mesti bawa perubahan dalam sistem pendidikan negara.
“Kalau tidak, macam dahulu semua tidak ada peluang untuk faham tentang Perlembagaan dan hak kita sampai pergi universiti. Pada ketika itu, kita dah umur 19 atau 20 tahun.
“Tapi dengan ini, kita mahu pengundi yang lebih matang dan bertanggungjawab maka kita mula pendidikan sivik dari muda,” jelasnya.