Undi18: Laksana atau tidak, situasinya sama sahaja - Ahmad Faizal

Aida Aziz
Mac 27, 2021 13:40 MYT
Ahmad Faizal (dua kanan) ketika hadir pada Program Derma Darah Perak Foodbank di Dewan Dato' Ahmad Said, Kampung Sungai Rokam, di Ipoh, ini. - Foto Astro AWANI
IPOH: Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menegaskan tiada implikasi besar pada kestabilan politik negara, sama ada pelaksanaan untuk Undi 18 tahun (Undi18) diteruskan atau ditangguhkan tahun ini.
Katanya, keadaan politik semasa menunjukkan keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) tidak banyak bergantung kepada faktor usia, mahupun jantina, tetapi lebih menjurus kepada bangsa.
"Sama sahaja (keputusannya) kalau umur 18 tahun boleh mengundi dalam PRU akan datang ataupun tidak. Situasinya lebih kurang sama sahaja.
"Sebab, sekarang saya nampak, politiknya bukan dari segi umur dan jantina sangat, tetapi banyak juga dari segi bangsa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Derma Darah Perak Foodbank di Dewan Dato' Ahmad Said, Kampung Sungai Rokam, di sini hari ini.
Menurut Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, beliau menyambut baik pelaksanaan Undi18 sebagai persediaan untuk anak muda memilih wakil bagi menubuhkan kerajaan.
"Tidak semua yang berumur 21 tahun ke atas bijak memilih untuk masa depan dia sendiri. Bagaimanapun, jangan silap faham.
"Bukan semua, tetapi ramai di kalangan rakyat yang cukup matang tetapi membuat keputusan yang cukup salah buat diri mereka sendiri.
"Tetapi, lebih ramai yang berumur 18 tahun ke atas yang cukup matang, yang faham apakah keperluan untuk diri mereka, negara, dalam memilih wakil untuk menubuhkan kerajaan," katanya.
BACA: Kegagalan Undi18 tutup tanggungjawab demokrasi 5.6 juta pengundi muda - Srikandi Muda
BACA: Undi18: Pakatan Harapan umpama "Kokok berderai-derai, ekor bergelumang tahi" - Dr Kamarul Yusoff
Beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun turut mengulas mengenai pandangan segelintir pihak yang menyalahkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) berhubung penangguhan itu.
"Hujan atau ribut, kalau orang nak salahkan kerajaan, orang tetap akan salahkan kerajaan. Walaupun hati mereka bukan 100 peratus bersetuju sangat dengan perkara ini (Undi18).
"Bukannya mereka perjuangkan sangat perkara ini. Tetapi apabila belum sempat dilaksanakan, mereka hendak salahkan pihak lain pula," tambahnya.
Baru-baru ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan pendaftaran pemilih automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun dijangka hanya mampu dilaksanakan selepas 1 September tahun depan.
Pengerusinya Datuk Abdul Ghani Salleh dilaporkan berkata, pihaknya harus bersikap realistik dengan perkembangan dan situasi semasa negara ketika ini yang secara umumnya masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan COVID-19.
BACA: Undi18: Peluang damping golongan muda, bukan ancaman kedudukan politik - Sivarraajh
BACA: Undi 18: Kenyataan SPR timbul tanda tanya - Khairy
Sebelum ini, beberapa pemimpin parti dari sayap pemuda termasuk Pemuda UMNO, MCA, PKR, Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) dan Pemuda DAP menuntut kerajaan menyatakan pendirian mengenai status undi 18 tahun.
Ia susulan kenyataan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim yang mendakwa negara belum bersedia melaksanakan dasar undi 18 tahun.
#Undi18 #Ahmad Faizal Azumu #tangguh pelaksanaan #SPR #Suruhanjaya Pilihan Raya #Pemuda UMNO #pilihan raya umum #pilihan raya #perintah kawalan pergerakan #PKP #pengundi #muda #matang #Rais Yatim #pendaftaran pemilih automatik #kelayakan mengundi
;