Undi18: Kerajaan PN pandang anak muda sebagai ancaman politik, kata Howard Lee
Isabelle Leong
Mac 12, 2021 14:24 MYT
Mac 12, 2021 14:24 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) memberikan pelbagai alasan untuk membatalkan pelaksanaan Undi18 pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 kerana mereka memandang anak muda sebagai ancaman politik, kata Ketua Pemuda Sosialis DAP Kebangsaan, Howard Lee.
Tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pinji itu, sekiranya pengundi berumur 18 tahun tidak dibenarkan mengundi pada PRU15, ia menunjukkan kegagalan kerajaan dari segi kehendak politik (political will) untuk melaksanakan amanah rakyat menerusi ahli-ahli Parlimen.
“Sudah tentu segala petunjuk memberi gambaran bahawa kerajaan yang memegang tampuk kuasa ini memang memandang anak-anak muda sebagai ancaman politik.
“Mungkin itu sebab mereka enggan atau tidak berapa hendak perkara ini dilaksanakan,” kata Howard dalam temu bual bersama Buletin AWANI pada Jumaat.
Beliau berkata Undi18 sudah termaktub dalam undang-undang kerana Dewan Negara sudah meluluskan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan dan mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Undi18 | Boleh dilaksanakan tahun ini atau tidak?
Justeru, katanya, Undi18 harus dan wajib dilaksanakan pada PRU15 nanti.
“Sekiranya undang-undang Perlembagaan Persekutuan sudah dipinda untuk membuka ruang dan memberi hak kepada anak muda, kenapa perlu kita tunggu?
“Pindaan tersebut sudah dilaksanakan hampir dua tahun yang lalu dan sebenarnya cukup masa untuk pelaksanakaannya pada PRU yang akan datang ini,” katanya.
Pada Khamis, Speaker Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim dilaporkan sebagai berkata, kelayakan mengundi pada PRU di usia 18 tahun yang sepatutnya berkuatkuasa Julai ini tidak dapat diteruskan walaupun Dewan Rakyat sudah meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019.
Bekas Ahli Parlimen Jelebu itu berkata, pelbagai kekangan ke arah pelaksanaannya sebelum negara ini benar-benar bersedia membenarkan pendaftaran pengundi seawal usia itu.
#Undi18
#Perikatan Nasional
#PN
#pilihan raya umum
#PRU-15
#Howard Lee
#Ketua Pemuda Sosialis DAP Kebangsaan
#Perlembagaan Persekutuan
#Yang di-Pertuan Agong
#Rais Yatim
#ADUN Pasir Pinji