Undi18 bukan penentu kerajaan pada PRN Johor - Noor Azleen
Sinar Harian
Februari 22, 2022 09:12 MYT
Februari 22, 2022 09:12 MYT
SHAH ALAM: Golongan Undi18 dilihat tidak akan menjadi penentu kepada pembentukan kerajaan Johor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang kerana bilangan pengundi yang berusia 18 hingga 20 tahun hanya merangkumi 6.4 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi.
Ketua Pemuda UMNO Pasir Gudang, Noor Azleen Ambros berkata, walaupun golongan berkenaan mampu memberi kesan kepada neratif, landskap serta tumpuan parti-parti politik, namun ia tidak menjadikan golongan tersebut sebagai kuasa penentu pembentukan kerajaan.
"Mereka (anak muda) ingin mewarnai landskap politik tanah air dan kita akan dapat lihat pada PRN Johor nanti tetapi tidak semestinya mereka mendominasi, menjadi penentu kerajaan Johor.
"Ada anak muda berjiwa besar, mereka juga memikirkan isu sejagat, merentasi peringkat umur, namun dengan 6.4 peratus sahaja pengundi muda daripada keseluruhan 2.3 juta pengundi, sudah pasti ia tidak mendominasi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis program Berani Bersemuka bertajuk PRN Johor: Undi 18 Jadi Penentu Kerajaan yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Isnin.
Turut menjadi panelis adalah Ketua Armada Parit Sulong, KD Hussin Mohd Yunos manakala Dr Noor Nirwandy Mat Noordin bertindak sebagai moderator.
Sementara itu ketika menjawab soalan KD Hussin mengenai pegangan parti terhadap pemimpin yang mengamalkan rasuah, Noor Azleen menegaskan, UMNO tidak berkompromi dengan salah laku pemimpin dan masih berpegang kepada integriti parti bagi memastikan perjuangannya kekal relevan serta diterima masyarakat.
Beliau berkata, apa yang dihadapi oleh beberapa pimpinan utama UMNO akan dijadikan pengajaran kepada ahli parti selain memberi keadilan kepada parti Melayu itu pada masa akan datang.
"Keadilan buat mereka (pemimpin yang dituduh dengan salah laku) sebagai individu termaktub dalam Perlembagaan, begitu juga keadilan kepada apa juga bentuk kesalahan yang dilakukan, perlu mendapat pembelaan.
"Kita (UMNO) konsisten bahawa andai kata (benar) berlaku salah laku, kita tidak berkompromi kerana itu bukan nilai yang mahu diamalkan, tunjuk kepada orang ramai, kerana UMNO bukan milik beliau seorang, malah milik tiga juta ahlinya.
"Keadilan itu mesti diadili bukan sahaja mereka dibicarakan tetapi kepada organisasi atau apa juga bentuk yang terlibat, kita konsisten bahawa ahli mahu keadilan terzahir," katanya.
*Berita asal di Sinar Harian