Undi18: Beri anak muda kepercayaan tentukan masa depan negara - Young Syefura
Astro Awani
Ogos 24, 2021 19:31 MYT
Ogos 24, 2021 19:31 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan diharap dapat meneruskan pelaksanaan Rang Undang-undang (RUU) Undi18 untuk membuka peluang anak muda di negara ini menentukan masa depan negara, kata Young Syefura Othman.
Jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari itu, ia akan menjadi platform untuk memberi kepercayaan kepada anak muda bagi membuat keputusan memilih wakil rakyat mereka sendiri.
"Kalau kita tidak ada kepercayaan kepada mereka, siapa lagi yang kita hendak percaya. Orang kata 18 tahun masih muda tetapi umur inilah untuk dibuka ruang dan peluang untuk mendengar pendapat serta keinginan mereka.
"Merekalah yang akan memimpin masa depan negara, mereka akan menerajui, mereka akan mengambil tempat orang-orang lama ini.
"Jangan sekat suara anak muda dan kalau lihat anak muda hari ini lebih matang daripada kita, mereka lebih cepat sedar, memahami. Kita jangan tengok dari sudut negatif semata-mata, mereka yang suka main motosikal, mereka yang lepak malam sedangkan kita ramai lagi anak muda yang positif dan fikirkan apa yang lebih baik untuk negara," katanya semasa sidang video pada Selasa.
Sebelum ini, pengasas bersama dan pengarah Advokasi Undi18, Tharma Pillai menjelaskan, komitmen kerajaan untuk mengangkat suara anak muda dalam agenda pemulihan ekonomi rakyat dan negara disambut baik.
Menurutnya, ia selaras perjuangan agar suara belia didengari dan dipertimbang dalam perancangan dasar kerajaan.
Dalam pada itu kata Young Syefura, ada ahli politik lama yang memandang rendah ahli politik muda di dalam perbincangan melibatkan isu rakyat.
Jelasnya, ada juga ahli politik muda dilabel tidak menghormati mereka apabila membuat teguran sedangkan ia memberikan manfaat untuk semua.
"Saya sangat berharap ahli politik lama boleh mendengar pandangan kita, daripada anak muda. Kita mungkin kurang pengalaman tetapi ada idea dan pandangan yang baik yang boleh dikongsi bersama.
"Kita sedia menerima tunjuk ajar tetapi ahli politik lama janganlah rasa sudah ada banyak pengalaman dan tidak mahu mendengar apa sahaja pandangan daripada pihak kita.
"Janganlah kerana kita muda, kita masih lagi baru, kita nampak seperti keanak-anakan. Kita mahu belajar dan diberi tunjuk ajar, tetapi jangan tegur seperti kita tidak tahu apa-apa," katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini memberi jaminan pentadbirannya akan mendengar dan memberi tumpuan kepada suara anak muda.
Ismail Sabri berkata, suara dan pendapat anak muda amat diperlukan seiring usaha mencapai objektif dan fokus yang akan diberikan pentabirannya.