Undi tidak percaya berpunca daripada segelintir pihak bercita-cita dangkal - Dr Chandra

Faris Danial Razi
Oktober 16, 2020 15:18 MYT
Mengenai isu undi tidak percaya, penganalisis politik, Dr Chandra Muzaffar berpendapat bahawa ia berpunca daripada segelintir pihak yang mempunyai cita-cita tertentu. - Facebook
KUALA LUMPUR: Penganalisis politik, Dr Chandra Muzaffar berpandangan bahawa isu undi tidak percaya berpunca daripada segelintir pihak yang mempunyai cita-cita tertentu.
Ia merupakan kerjasama dua pihak yang mempunyai cita-cita dangkal dan mereka yang ingin melepaskan diri daripada sistem perundangan kehakiman.
“Apa yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin politik tertentu, hanya segelintir, bukan kesemuanya, hanya segelintir yang tamak kuasa, yang menjadikan cita-cita tertentu sebagai misi hidup mereka.
“Bagi yang lain pula, kerana mereka ingin melepaskan diri daripada sistem perundangan kehakiman kita, secara terus-terang saya mengatakan bahawa inilah sebabnya mereka mengambil langkah langkah tertentu.
“Dua golongan ini bekerjasama, kerana inilah kebenarannya bahawa ada satu pihak kerana cita-cita dangkal individu yang terlibat ini," kata Dr Chandra ketika ditemu bual menerusi program Agenda AWANI pada Jumaat.
"Manakala terdapat pihak lain pula, bagi mereka ini kerana keadaan mahkamah dan oleh itu mereka ambil langkah-langkah tertentu atas nama parti, kedudukan parti, atas nama demokrasi dan sebagainya," katanya lagi.
Dr Chandra menyifatkan perkara tersebut sebagai penyalahgunaan kuasa dan proses-proses demokrasi.
Tentang undi tidak percaya, beliau berpendapat bahawa sekiranya ahli-ahli politik itu matang, mereka harus kaji secara mendalam kenyataan yang dibuat oleh Speaker Dewan Rakyat.
“Ini adalah kenyataan kedua beliau, pertama jawapan beliau kepada Tengku Razaleigh Hamzah yang bertarikh 29 September, di mana beliau menerangkan bagaimana proses prosedur protokol yang harus kita menganuti tentang kes-kes tentang undi tidak percaya,” tambahnya.
#Dewan Rakyat #undi tidak percaya #Agenda Awani #rakyat #cita-cita politik #dangkal #ahli politik #Politik Malaysia #Perdana Menteri #Muhyiddin Yassin #Anwar Ibrahim #Tengku Razaleigh Hamzah