Undi percaya: Pembangkang perlu terima hakikat, beri ruang saya pikul tugas - PM Anwar

Hasimi Muhamad
Disember 20, 2022 13:04 MYT
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata blok pembangkang perlu menerima hakikat dan memberi ruang kepada beliau untuk memikul tugas sebagai Perdana Menteri tanpa sebarang gangguan termasuk mempertikaikan keabsahan - Foto/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata blok pembangkang perlu menerima hakikat dan memberi ruang kepada beliau untuk memikul tugas sebagai Perdana Menteri tanpa sebarang gangguan termasuk mempertikaikan keabsahan.
Ini kerana, menurut Ahli Parlimen Tambun itu, ia susulan daripada pendirian pembangkang bahawa undi percaya mengenai keabsahan tidak perlu dikemukakan di Dewan Rakyat.
Jelas Presiden Pakatan Harapan (PH) itu lagi, keputusan mencadangkan usul percaya dikemukakan di Dewan Rakyat adalah kerana kenyataan Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mencabar keabsahan beliau.
"Itu yang menyebabkan saya, walaupun Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) dan Peguam Negara, malah Yang Dipertuan Agong sendiri mengatakan tiada keperluan (undi percaya) kerana majoriti itu jelas.
"Tetapi saya memilih untuk tidak hanya melihat dari segi peruntukan undang-undang atau perlembagaan, tetapi legitimasi moral," katanya di Dewan Rakyat, pada Selasa.
Pada Isnin, Dewan Rakyat meluluskan usul undi percaya terhadap Perdana Menteri dengan undian suara, tanpa undian belah bahagi.
Blok pembangkang berpendirian bahawa undi percaya terhadap Anwar tidak sepatutnya dikemukakan di Dewan Rakyat selepas Yang Dipertuan Agong memperkenankan pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri.
Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kerana itu pembangkang memilih untuk tidak terlibat dalam pengundian, dan membiarkan ia diluluskan dengan undian suara.
Anwar menambah, legitimasi moral membolehkan kerajaan yang dipimpin oleh beliau dapat memerintah dan menumpukan kepada kestabilan dan pertumbuhan ekonomi.
"Seperti yang disebut oleh Titiwangsa (Datuk Seri Johari Abdul Ghani), kita ada ruang untuk menumpukan kepada perhatian setelah ada kestabilan keabsahan, dan menumpukan perhatian untuk menjana pertumbuhan ekonomi yang lebih meyakinkan," katanya lagi.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menegur Ahli-ahli Parlimen agar menjaga tatasusila ketika berada di Dewan Rakyat, agar tidak dilabel sebagai 'gelanggang sarkas'.
Jangan jadikan Dewan Rakyat gelanggang 'sarkas' - PM Anwar
Katanya, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof selaku Ketua Whip Kerajaan Perpaduan telah diarah untuk memaklumkan kepada Ahli Parlimen kerajaan agar menjaga tatasusila, adab serta peraturan, dan berharap perkara yang sama turut dilakukan oleh pihak pembangkang.
"Ini kerana sidang Parlimen ini ditonton (oleh rakyat). Kita boleh berbeza pendapat, bertengkar tetapi harus jaga kemuliaan Dewan ini dan tidak keterlaluan kerana ini akan ditertawakan oleh rakyat yang melihat suluruh dewan ini seperti yang disebut dalam media sosial seperti sarkas.
"Jadi ini saya seru kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, dan saya beri jaminan penuh jika tindakan itu perlu ke atas ahli Yang Berhormat daripada Kerajaan Perpaduan," katanya.
#Anwar Ibrahim #undi percaya #Ketua Pembangkang #Dewan Rakyat
;