Undi awal PRK Sandakan tamat
Harits Asyraf Hasnan
Mei 7, 2019 14:01 MYT
Mei 7, 2019 14:01 MYT
Proses pengundian awal bagi kesemua 270 anggota polis di Sandakan tamat selepas pusat pengundian di Mes Pegawai Kanan Pasukan Polis Marin Sandakan tutup jam 2 petang tadi.
Sebelum itu, pusat pengundian di Rumah Kelab Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan ditutup tepat jam 12 tengah hari.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam kemas kini di akaun Twitter memaklumkan 75 peratus pengundi telah membuang undi hingga jam 1 petang sejak proses pengundian awal itu bermula 8 pagi tadi.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Mohamed Elias Abu Bakar dan beberapa lagi Ahli-Ahli SPR turut memantau perjalanan proses undi awal tersebut.
Selain itu, calon-calon turut ke dua lokasi tersebut bagi menyaksikan perjalanan proses pengundian awal.
Semua peti undi bagi pengundian awal akan disimpan di lokap balai polis dan pengiraannya akan dibuat pada hari pengundian Sabtu ini di pusat pengiraan undi berkelompok di Dewan Aktiviti Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Tiong Hua Sandakan dengan disaksikan oleh ejen-ejen calon yang bertanding serta pemerhati pilihan raya.
PRK ini menyaksikan pertembungan lima penjuru iaitu Vivian Wong Shir Yee mewakili DAP, Datuk Linda Tsen Thau Lin (PBS) dan tiga calon bebas iaitu Hamzah Abdullah, Sulaiman Abdul Samat dan Chia Siew Yung.