Undi 18: Segera berikan hak orang muda untuk mengundi
Muzaffar Syah Mallow, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
Mac 14, 2021 12:22 MYT
Mac 14, 2021 12:22 MYT
HAK setiap orang untuk melibatkan diri mereka dalam proses demokrasi seperti hak untuk mengundi tidak seharusnya dinafikan.
Setiap orang perlu diberi hak untuk mengundi serta memilih pemimpin yang mereka ingini bagi mewakili suara mereka.
Setiap negara yang mengamalkan sistem demokrasi akan membenarkan rakyat mereka untuk mengundi bagi memilih pemimpin.
Hak mengundi ini adalah penting bagi memastikan pemimpin yang dipilih dapat menjalankan tanggungjawab dan amanah yang telah diberikan kepada mereka dengan baik.
Hak mengundi ini juga penting bagi melindungi kebajikan dan kesejahteraan semua orang serta menjamin kemajuan negara.
Sekiranya hak mengundi ini tidak diberikan kepada orang ramai, sukar untuk sesebuah negara itu membangun dan menjadi maju.
Hak seseorang itu untuk mengundi sudah lama wujud dalam sejarah peradaban dan tamadun manusia.
Semenjak zaman pemerintahan Greek dan kerajaan Rom lagi, hak mengundi ini telah diberikan.
Walaupun hak mengundi hanya diberikan kepada golongan tertentu sahaja pada masa lampau, namun seiring dengan perkembangan zaman, hak mengundi telah diberikan kepada hampir kepada semua orang yang ada di dalam sesebuah negara.
Kini, majoriti penduduk dunia memiliki hak untuk mengundi. Hak mengundi ini juga telah menjadi sebahagian daripada prinsip hak asasi manusia yang perlu dihormati dan dilindungi.
Perkara ini jelas termaktub dibawah beberapa konvensyen dan deklarasi antarabangsa seperti Perisytiharan Antarabangsa Mengenai Hak Asasi Manusia 1948 (UDHR), Perjanjian Antarabangsa Tentang Hak-Hak Sivil dan Politik 1966 (ICCPR), Konvensyen Perlindungan Terhadap Hak Asasi Manusia di Eropah 1950 (ECHR), Piagam Negara-Negara Amerika 1948 (OAS), Piagam Terhadap Hak Asasi Manusia di Afrika atau lebih dikenali sebagai Piagam Banjul, dan beberapa dokumen antarabangsa mengenai hak asasi manusia.
Walaupun hak mengundi ini sudah menjadi sebahagian daripada hak asasi manusia, namun masih terdapat beberapa golongan yang dinafikan hak mereka untuk mengundi.
Di Malaysia, isu hak mengundi ini sudah mula mendapat tempat apabila apabila sebilangan orang muda dinafikan hak mereka untuk mengundi.
Menurut Perlembagaan Persekutuan, iaitu undang-undang tertinggi sekali dalam negara kita, seseorang warganegara hanya layak untuk mengundi apabila mereka sudah mencapai usia 21 tahun.
Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan menyatakan dengan jelas bahawa “Kelayakan pemilih (1) Tiap-tiap warganegara yang (a) telah mencapai umur 21 tahun pada tarikh kelayakan…berhak mengundi di dalam bahagian pilihan raya itu dalam mana-mana pilihan raya ke Dewan Rakyat atau Dewan Undangan”.
Isu had usia mengundi bermula pada usia 21 tahun ini juga telah diperkukuhkan lagi bawah Akta Pilihan Raya 1958 [Akta 19] yang mentafsirkan seseorang pemilih itu sebagai seseorang yang sudah mencapai umur 21 tahun mengikut Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan.
Penetapan had usia mengundi bermula pada usia 21 tahun ini telah mencetuskan perasaan tidak puas hati ramai pihak khususnya dalam kalangan golongan muda dalam negara yang sudah mencapai usia dewasa iaitu apabila mencecah usia 18 tahun.
Apabila seseorang itu sudah mencecah usia 18 tahun, mereka bukan lagi dianggap sebagai golongan kanak-kanak dalam negara kita.
Apabila mereka sudah mencecah usia 18 tahun, mereka akan dianggap sebagai seorang dewasa yang mampu memikul pelbagai jenis tanggungjawab serta menentukan masa depan mereka sendiri.
Hakikat ini bukan sahaja terpakai dalam Malaysia malah di hampir semua negara dalam dunia.
Namun berdasarkan peruntukan sedia ada di dalam Perlembagaan Persekutuan mereka masih dilarang untuk menentukan masa depan negara mereka sendiri apabila tidak dibenarkan untuk mengundi selagi belum mencapai usia 21 tahun.
Perubahan tampuk pemerintahan kerajaan yang berlaku pada tahun 2018 melalui proses Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14) telah membawa perubahan yang besar terhadap perkara ini.
Kerajaan baharu ketika itu telah mengambil usaha dengan membawa sebuah Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) atau lebih dikenali sebagai RUU Undi 18 bagi menurunkan had usia mengundi daripada 21 tahun ke 18 tahun yang kemudiannya telah diluluskan dengan jumlah undi yang amat besar dari kalangan ahli Dewan Rakyat.
Proses untuk pihak kerajaan bagi mendapatkan sokongan ahli Dewan Rakyat untuk RUU Undi 18 ini tidak mudah.
Setiap ahli Parlimen mempunyai pandangan dan pendapat yang berlainan apabila isu penurunan had usia mengundi ini diketengahkan.
Rata-rata ahli Parlimen blok kerajaan pada waktu itu memang menyokong had usia mengundi ini diturunkan kepada usia 18 tahun.
Untuk ahli Parlimen blok pembangkang pula, mereka menekankan isu pengundian secara automatik.
Pertemuan secara peribadi oleh YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, ahli Parlimen Muar dan pencetus idea Undi 18 ini telah diadakan dengan semua pemimpin pembangkang pada waktu itu bagi mendapatkan pendapat dan sokongan mereka terhadap RUU Undi 18 berkenaan.
Hanya dengan sokongan bipartisan dari pihak kerajaan dan pembangkang, barulah RUU Undi 18 ini akhirnya berjaya diluluskan.
Kelulusan RUU Undi 18 ini mendapat reaksi positif dari ramai pihak dalam negara kita khususnya dikalangan golongan muda.
Dengan adanya RUU Undi 18 ini mereka yang sudah mencapai had usia dewasa 18 tahun boleh melibatkan diri mereka untuk menentukan nasib perjalanan negara ini.
Penglibatan golongan muda di dalam proses mengundi ini juga dapat memperkuatkan lagi sistem demokrasi dalam negara kita.
Orang muda harus diiktiraf sebagai golongan yang boleh memilih masa hadapan dan hala tuju negara.
Hampir semua negara di seluruh dunia telah mengiktiraf hak mengundi ini kepada orang muda di negara masing-masing.
Pada tahun 2019, Malaysia telah bersuara dan mengikut jejak langkah demokrasi dunia.
Maka, kerajaan hari ini harus melaksanakan keputusan yang telah dipersetujui oleh pihak kerajaan dan pembangkang pada tahun 2019 yang lalu.
Pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga telah menyatakan komitmen mereka terhadap perlaksanaan RUU Undi 18 ini dibuat selewat-lewatnya pada bulan Julai 2021.
Oleh itu, ayuh segera berikan hak orang muda untuk mengundi!
*Artikel ini ditulis bersama oleh Dr Muzaffar Syah Mallow, Profesor Madya, Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Ahli Parlimen, Muar.
**Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.
#Undi 18
#pilihan raya
#Suruhanjaya Pilihan Raya
#PRU15
#PRU-15
#Dewan Rakyat
#RUU
#hak mengundi
#hak asasi manusia
#Piagam Banjul