Undi 18: Lebih 200 peserta berhimpun aman, 'bersila' atas jalan selama 18 minit

Hasimi Muhamad
Mac 27, 2021 17:33 MYT
Kumpulan tersebut yang bergerak dari Padang Merbok turut mengadakan silent protest dengan duduk di atas jalan raya selama 18 minit - Gambar Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Dianggarkan lebih 200 peserta yang terdiri daripada golongan mahasiswa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengadakan Himpunan Tuntut Undi 18 di hadapan bangunan Parlimen, di sini pada Sabtu.
Himpunan secara aman itu diadakan sebagai meluahkan rasa kesal terhadap keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang gagal melaksanakan Undi 18 dan pendaftaran pemilih secara automatik pada Julai ini.
Kumpulan tersebut yang bergerak dari Padang Merbok turut mengadakan silent protest (bantahan senyap) dengan duduk di atas jalan raya selama 18 minit.
Menurut wakil pelajar, Nurul Rifayah Muhammad Iqbal, 18, himpunan tersebut diadakan bagi menggesa kerajaan dan SPR menyegerakan pelaksanaan Undi 18.
Selain itu mereka menuntut agar sidang Parlimen diadakan serta menamatkan Proklamasi Darurat.
"Penangguhan selama 15 bulan ini adalah mengarut dan tidak mencerminkan kesungguhan pihak berwajib untuk menurunkan had mengundi kepada anak muda yang mencapai umur 18 tahun.
"Rakyat Malaysia khususnya anak muda membantah keputusan ini sekeras-kerasnya kerana hak setiap dewasa ini untuk mengundi dalam pilihan raya adalah hak demokrasi dalam mana-mana dalam dunia ini," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
BACA: Undi18: Alasan SPR tidak masuk akal, MUDA ambil tindakan mahkamah
BACA: Undi18, daftar pemilih automatik tidak sempat dilaksana tahun ini - SPR
Politik | Himpunan tuntut Undi 18
Turut kelihatan hadir adalah Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Mazlee Malik; Naib Presiden PKR, Tian Chua dan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin.
Sementara itu, Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia, Ahmad Farhan Rosli, 25, berkata keputusan SPR disifatkan telah menguburkan sistem demokrasi negara.
"Hari ini kami bawa simbol batu nisan menyatakan demokrasi di Malaysia sudah mati. Yang pertama, mereka tidak hendak buka Parlimen, dan kedua mereka menghina Perlembagaan apabila menafikan hak pengundi-pengundi yang berusia 18 tahun ke atas untuk mengundi dalam pilihan raya.
"Pesanan kami dan rayuan kami serta seluruh yang hadir hari ini, kami mahu kerajaan buka hati, buka ruang kepada generasi muda untuk berkongsi hak mereka melihat Malaysia lebih baik," ujarnya.
Beberapa cadangan turut dikemukakan termasuk penyelarasan bersama Jabatan Pendaftaran Negara dan Kementerian Belia dan Sukan dalam usaha mendapatkan data pengundi serta pendidikan politik.
Terdahulu, SPR memaklumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menjejaskan perancangan dan persiapan awal SPR untuk melaksanakan Undi 18 dan pendaftaran pemilih automatik.
Suruhanjaya tersebut berkata perkara itu dijangka hanya boleh dilaksanakan pada September 2022.
#Tian Chua #Maria Chin #Suruhanjaya Pilihan Raya #Padang Merbok #Kementerian Belia dan Sukan #PKP #Himpunan Tuntut Undi 18 #Undi 18 #muda #Proklamasi Darurat #tunjuk perasaan aman
;