Undi 18: Bersatu serah pada SPR - Wan Saiful

Abd Razak Mohd Ali
Mac 14, 2021 20:05 MYT
Pada masa sama, jelas Wan Saiful, pihaknya juga faham kemungkinan terdapat kekangan atau isu-isu teknikal yang perlu diselesaikan oleh pihak SPR. - Gambar fail
IPOH: Pandangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terhadap dasar Undi 18 masih tidak berubah sehingga sekarang, menurut Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan.
Malah, katanya parti itu juga sentiasa mengalu-alukan penyertaan anak muda yang berumur 18 tahun ke atas dalam sistem demokrasi negara.
Bagaimanapun, Wan Saiful berkata, Bersatu menyerahkan kepada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk melaksanakan dasar tersebut.
"Semasa diundi di Parlimen semua Ahli Parlimen kita menyokong usul Undi 18, pandangan itu tidak berubah sehingga sekarang dan bagi saya kita mengalu-alukan penyertaan anak-anak muda yang berumur 18 tahun ke atas.
"Saya secara peribadi pun amat menyokong agenda Undi 18 ini. Dari segi pelaksanaan dasar tersebut, itu kita serahkan kepada pihak SPR. Kita harap dapat bersedia dengan semua persediaan yang diperlukan pada masa yang betul dan kita harap dia tidak perlu dilengahkan," katanya ketika ditemui selepas program dialog penerangan bersama Bersatu Perak di Ipoh pada Ahad.
Pada masa sama, jelas Wan Saiful, pihaknya juga faham kemungkinan terdapat kekangan atau isu-isu teknikal yang perlu diselesaikan oleh pihak SPR.
Terdahulu, Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dilihat berdolak-dalik mengenai dasar Undi 18 seolah-olah memberi bayangan anak muda tidak penting dalam sistem demokrasi negara.
Menurutnya, hak untuk mengundi dan menjadi calon pilihan raya yang diturunkan kepada umur 18 tahun adalah hadiah terbaik kepada anak muda.
Mohd Shafei mengulas kenyataan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim bahawa kelayakan mengundi pada pilihan raya umum di usia 18 tahun tidak dapat diteruskan walaupun Dewan Rakyat sudah meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019.
Jelas Rais, ini kerana, pelbagai kekangan ke arah pelaksanaannya sebelum negara ini benar-benar bersedia membenarkan pendaftaran pengundi seawal usia itu.
#Undi 18 #Bersatu #SPR #Parti Pribumi Bersatu Malaysia #Wan Saiful Wan Jan #Suruhanjaya Pilihan Raya #PN #Perikatan Nasional
;