Undi 18: Beri SPR masa, ada perkara perlu diselesaikan - Takiyuddin

Abdul Hadi Che Awang
Mac 28, 2021 09:52 MYT
Takiyuddin menegaskan bahawa kerajaan PN tidak mempunyai sebarang kuasa dalam mempengaruhi sebarang keputusan yang dibuat SPR khususnya melibatkan perlaksanaan Undi 18. - Gambar fail
PENDANG: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan menasihatkan semua pihak agar memberi masa dan ruang kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam melaksanakan Undi 18.
Jelasnya, terdapat beberapa prosedur yang masih perlu diselesaikan termasuk berkaitan kawasan mengundi yang melibatkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
"Satu (sebab yang diberikan SPR) ialah apabila dibuat pendaftaran automatik maka semua yang berumur 18 tahun ke atas, sama ada bawah 21 atau atas 21 tahun yang tak daftar lagi, terdaftar secara automatik.
"Maka SPR menentukan di mana dia akan mengundi, DUN (Dewan Undangan Negeri) mana, Parlimen mana, berdasarkan alamat dalam IC (Mykad).
"Alamat dalam IC dah selesai ke? Itu kena tanya JPN... kalau misalnya, alamat itu Kampung Charuk Kudong, Pendang... nak letak dekat DUN mana, DUN Tokai atau DUN Sg. Tiang... (contoh) nombor rumah tidak ada... itu saya diberitahu antara salah satu masalah yang dihadapi oleh SPR.
"Kalau mereka (SPR) perlukan masa, berikan masa kerana saya sebut pilihan raya ini (dijangka pada) 2023. Mungkin mereka buat pindaan dulu dengan andaian bahawa pilihan raya empat tahun lagi (jadi ada banyak masa).
"Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak anti Undi 18, maknanya kami dulu pembangkang, masa kerajaan bawa pindaan ini kami sokong kerana bagi kami 18 is the age of majority," katanya.
BACA: Kerajaan khianati janji pendaftaran pemilih automatik, Undi 18 - Anwar Ibrahim
BACA: Kalau bukan secara automatik, benarkan anak muda daftar sendiri - Undi 18
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Program Malaysia Prihatin peringkat Parlimen Pendang di Dewan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Pendang pada Ahad.
Dalam pada itu, Takiyuddin menegaskan bahawa kerajaan PN tidak mempunyai sebarang kuasa dalam mempengaruhi sebarang keputusan yang dibuat SPR khususnya melibatkan perlaksanaan Undi 18.
#Takiyuddin Hassan #SPR #Undi 18 #beri masa #JPN #pendaftaran automatik #penetapan alamat mengundi