UNDI 18: Beri peluang anak muda mengundi - PBS

Radhi Muslim
Mac 28, 2021 14:39 MYT
Pendirian PBS konsisten seperti dipersetujui Parlimen bahawa individu 18 tahun ke atas dibenarkan mengundi.
SEKONG: Parti Bersatu Sabah (PBS) berharap anak muda diberikan peluang mengundi dalam pilihan raya umum (PRU) ke-15 ini.
Timbalan Presidennya, Datuk Jahid Jahim berkata, pendirian PBS konsisten seperti dipersetujui Parlimen bahawa individu 18 tahun ke atas dibenarkan mengundi.
Katanya perkara berkenaan sudah dikaji dan anak muda seharusnya diberikan peluang mengundi serta dapat dilaksanakan dengan segera.
"Pendirian Parti Bersatu Sabah (PBS) tentang umur yang telah diputuskan oleh Parlimen konsisten. Biarlah anak muda ini diberi peluang untuk melaksanakan tanggungjawab mereka," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media dalam Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian Sekong, di Sandakan, pada Ahad.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menjejaskan perancangan dan persiapan awal SPR untuk melaksanakan Undi 18 dan pendaftaran pemilih automatik.
Suruhanjaya tersebut berkata perkara itu dijangka hanya boleh dilaksanakan pada September 2022.
#Parti Bersatu Sabah #PBS #Datuk Jahid Jahim #Parlimen #Sabah #Undi 18
;