Umur 18 tahun tidak boleh mengundi di PRK Tanjung Piai - SPR
Wan Syamsul Amly
Oktober 1, 2019 14:11 MYT
Oktober 1, 2019 14:11 MYT
Pengundi 18 tahun tidak boleh mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai kerana pelaksanaannya belum dikuatkuasakan.
Pengerusi SPR Datuk Azhar Azizan Harun bagaimanapun berkata, bagi calon berumur 18 tahun, pegawai pengurus akan menentukan sama ada individu berkenaan dapat bertanding pada PRK itu atau sebaliknya.
"Mereka tidak boleh mengundi kerana itu belum dikuatkuasakan pelaksanaannya, mengenai sama ada diterima atau tidak calon yang berumur 18 tahun, itu adalah di bawah bidang kuasa pegawai pengurus pada hari penamaan calon
"Bagi pihak SPR, kita sedang mengambil tindakan untuk berlibat urus secara partisan pada masa terdekat, minggu ini," katanya dalam sidang media di Menara SPR, Putrajaya, pada Selasa.
Dewan Rakyat pada 16 Julai lalu meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur mengundi, pendaftaran pengundi automatik, dan menurunkan umur calon bertanding pilihan raya kepada 18 tahun.
Bagaimanapun sebelum ini Azhar berkata, SPR memerlukan masa, sekurang-kurangnya setahun setengah untuk melaksanakan keputusan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019.
PRK Parlimen Tanjung Piai, Johor P165 akan diadakan pada 16 November depan.
Penamaan calon pula ditetapkan pada 2 November manakala tarikh mengundi awal ialah pada 12 November.