Umum peruntukan: SPR tidak campur kempen parti di PRN Sarawak
Harits Asyraf Hasnan
Mei 5, 2016 13:23 MYT
Mei 5, 2016 13:23 MYT
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak akan mencampuri proses kempen yang dilaksanakan mana-mana parti pada ketika ini.
Pengerusinya, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata laporan secara rasmi boleh dikemukakan sekiranya ada mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan kempen yang dilaksanakan.
"Saya tidak mahu komen. Kempen ini, kalau rasa tidak puas hati, ia ada prosedur," katanya ketika diminta mengulas berkenaan sama ada peruntukan yang diumumkan oleh Barisan Nasional (BN) ketika tempoh berkempen salah di bawah Akta SPR atau tidak.
Tegasnya, tanggungjawab SPR adalah untuk memastikan perjalanan pengundian berjalan dengan lancar.
"Musim berkempen ini, SPR menjalankan tugas untuk melaksanakan pilihan raya dengan lancar dan kita kini perlu pastikan barang-barang seperti kertas undi, payung dan sebagainya mencukupi.
"Kepada mereka yang berkempen, mereka ada manifesto masing-masing. Bagi SPR, jika kami masuk campur kempen, kami bukan lagi SPR," katanya ketika meninjau proses akhir semakan kelengkapan pusat pengundian Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kitang di sini hari ini.
Sepanjang tempoh kempen PRN kali ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi termasuk kerajaan negeri Sarawak mengumumkan beberapa peruntukan bagi pembangunan negeri Sarawak.
Mengulas berkenaan persiapan SPR, Mohd Hashim berkata SPR telah bersedia 100 peratus bagi menghadapi hari pengundian pada Sabtu ini.
"Kita telah bersedia 100 peratus dalam menghadapi hari pengundian 7 Mei ini...kami telah sediakan helikopter, perahu panjang, bot dan sebagainya," ujar Mohd Hashim.
Pada PRN kali ini, 1,138, 650 pemilih layak membuang undi Sabtu ini dengan menyaksikan perebutan 82 kerusi Dun termasuk 11 kerusi baharu.
Pada hari penamaan calon 25 April lalu, BN menang tanpa bertanding di Bukit Kota melalui penyandang Abdul Rahman Ismail dan kerusi Dun Bukit Sari oleh penyandang Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan.
#Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah
#pilihan raya Sarawak
#PRN-11
#sarawak2016
#SPR
#Suruhanjaya Pilihan Raya