UMNO WP gaul kekuatan anak muda dan senior dalam parti
Astro Awani
November 22, 2014 18:22 MYT
November 22, 2014 18:22 MYT
Kekuatan anak muda dilihat kombinasi terbaik yang harus digaul bersama kumpulan senior parti pada Perhimpunan Agung UMNO Selasa depan.
Setiausaha UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, mekanisme itu dilihat sebagai rahsia kekuatan parti yang harus diterapkan di setiap negeri.
Katanya, laluan harus dibuka kepada golongan muda demi pembaharuan UMNO yang dilaung selama ini.
"Ia cabaran terbesar parti UMNO kini, parti perlu berubah, kita sudah banyak kali beritahu, kita mahu pemimpin yang muda, lebih bertenaga...kita tidak ada di situ selamanya, ruang dan peluang memang harus diberi," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Dalam pada itu katanya, tidak salah jika pemimpin senior masih mengekalkan jawatan seandainya pemimpin berkenaan masih berkemampuan dan diperlukan akar umbi
"Katalah apa sahaja di dalam perlembagaan seandainya ada perlembagaan pun. Jika seseorang pemimpin itu memang diperlukan walaupun sudah lama, dia harus terus berbakti.
"Lihat sahaja beberapa pemimpin pembangkang yang membawa suara parti mereka walaupun sudah lama menerajui parti...dan mereka ini masih dihormati," jelasnya.
Bagaimanapun jelasnya, pertukaran atau peningkatan jumlah anak muda dalam kepimpinan parti membuktikan parti tidak retorik.
"Jawatan tidak dibawa mati, sampai bila hendak cakap UMNO retorik lagi, kita kena hadapi kenyataan apakah UMNO sudah bersedia untuk meletakkan generasi pelapis," ujarnya.
Syed Ali sebelum ini bersetuju dengan teguran bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir bahawa ada di kalangan pemimpin UMNO tidak suka menerima ahli baru yang berbakat kerana takut dicabar, hilang jawatan atau tidak dicalonkan sebagai calon pilihan raya.
Bekas Presiden UMNO itu menyarankan pemimpin UMNO menerima hakikat dan memerlukan pembubaran dan penyusunan semula.
Syed Ali menambah, pemimpin yang pentingkan kedudukan dan tidak memberi laluan kepada generasi muda hanya akan merugikan parti apabila berdepan dengan PRU.