UMNO usah jadi parti lembik, kerjalah dengan kuat - Pemuda DAP

Haider Yutim
Disember 13, 2018 20:51 MYT
SHAKIR: Terimalah hakikat dengan rela hati dan kerjalah dengan kuat untuk rakyat supaya mendapat kepercayaan semula. - Foto ihsan DAP
Pemuda DAP hari ini menasihati UMNO supaya menerima hakikat bahawa ramai ahlinya telah keluar parti dan menyertai Pakatan Harapan selepas kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.
Naib Ketua Pemudanya, Muhammad Shakir Ameer menyarankan pemimpin UMNO agar tidak membuang masa berbincang dengan pelbagai pihak demi 'survival' parti tersebut, sebaliknya terus bekerja kuat untuk memenangi semula hati rakyat.
"Terimalah hakikat dengan rela hati dan kerjalah dengan kuat untuk rakyat supaya mendapat kepercayaan semula.
"Umum mengetahui bahawa 52 tahun DAP menjadi parti pembangkang. Namun kami mampu memberikan perkhidmatan baik kepada rakyat tanpa mengira bilangan kerusi di Parlimen atau DUN mana-mana negeri atau keupayaan kewangan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
BACA: 'Gambar yang tular ni, begini ceritanya...'
Katanya, UMNO selama ini menuduh penasihat DAP Lim Kit Siang sebagai seorang rasis namun tuduhan itu terbukti tidak betul.
"Tuduhan UMNO sekaligus menimbulkan naratif bahawa beliau (Kit Siang) ingin menjadi Perdana Menteri namun beliau tidak berminat untuk memasuki jemaah menteri dan cuma ingin menjadi ahli parlimen sahaja," katanya.
Selain itu, beliau turut menegaskan bahawa DAP tidak memerlukan sokongan UMNO dan tidak akan sekali-sekali bekerjasama dengan parti itu.
"Sebelum PRU14 lagi perjanjian di antara parti-parti Pakatan Harapan telah dimuktamadkan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadi Perdana Menteri ke-8 pada tahun 2020 nanti. Sokongan dari PH sudah memadai. Kami tidak perlukan UMNO.
"Kami tidak akan melupakan kesusahan yang ditimbulkan oleh UMNO kepada parti DAP selama ini. Pengalaman ini hanya akan membuatkan parti DAP lebih kuat dan memastikan kami tidak mengikut jejak langkah UMNO," jelasnya.
Tambahnya, UMNO perlu mula cerminkan diri sendiri dan insaf akan keburukan yang dilakukan mereka sepanjang tempoh di tampuk kuasa.
"Jika tidak ingin sedar diri maka biarlah UMNO dikuburkan dengan sendiri," katanya lagi.
#DAP #Lim Kit Siang #Muhammad Shakir Ameer #Pemuda DAP #pilihan raya umum #PRU14 #survival #UMNO
;