UMNO tidak tolak penyatuan ummah, yang ditolak cuma Bersatu - Khaled Nordin

Afiezy Azaman
Oktober 10, 2022 12:16 MYT
MOHAMED KHALED: Kerana itu, Bersatu tidak mempunyai standing sebagai pendukung kesatuan dan perpaduan Melayu. DNA-nya ialah anti-UMNO dan karakternya adalah khianat. -Gambar fail/Sinar Harian
KUALA LUMPUR: UMNO tidak pernah menolak segala usaha untuk penyatuan ummah, namun yang ditolak ialah penyelamatan Bersatu.
Menurut Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, formula Pas untuk mendukung Bersatu bukan rumus untuk ummah yang bersatu.
Katanya, Bersatu ialah parti yang jelas ditubuhkan untuk melemahkan kekuatan sebenar orang Melayu melalui UMNO.
"Kekuatannya adalah ‘superficial’. Tidak dibangunkan melalui perjuangan hakiki, tetapi dibina melalui sindiket pengkhianatan politik paling licik dan jelik dalam sejarah politik Malaysia.
"Kerana itu, Bersatu tidak mempunyai ‘standing’ sebagai pendukung kesatuan dan perpaduan Melayu.
"DNA-nya ialah anti-UMNO dan karakternya adalah khianat.
"UMNO adalah gerakan politik dan Ia bukan gerakan dakwah, justeru itu tugas UMNO ialah mengurus dan mentadbir negara," katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.
Beliau berkata, penyatuan ummah tidak semestinya hanya akan terbit melalui kerjasama politik demi pilihan raya, malah UMNO telah dan akan usahakan dalam pelbagai ruang lingkup, pada setiap masa dan bukan bermusim bila ia mentadbir nanti.
"Segala perhitungan UMNO adalah pada kelangsungan politiknya dan kepentingan bangsa Melayu dan adalah strategik untuk orang Melayu mempunyai parti terbesar dan paling dominan dalam Kerajaan akan datang.
"Fokus UMNO ialah untuk mengembalikan semula kekuatan sebenarnya agar ia dapat menjadi jurucakap orang Melayu yang berkesan.
"Ia tidak akan dapat dicapai melalui kerjasama dengan Bersatu pastinya kerana telah menjadi cita-cita Bersatu untuk UMNO itu diakhiri, ditolak dan dimatikan," jelasnya.
#Mohamed Khaled Nordin #UMNO #PAS #Bersatu
;