UMNO tidak terima pemakluman Tengku Zafrul keluar parti - Ahmad Zahid

Bernama
Disember 14, 2024 11:56 MYT
Presiden UMNO Ahmad Zahid menghadiri Majlis Konvokesyen Kolej Ketengah ke-4 di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini berkata, beliau tidak menerima sebarang pemakluman daripada Ahli Majlis Tertinggi UMNO ,Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz untuk keluar daripada parti itu bagi menyertai parti lain.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, setakat ini Tengku Zafrul juga tidak ada bertemu dengannya untuk membincangkan perkara itu.
“Jadi kita tak dapat mengesahkan berita berkenaannya,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Konvokesyen Kolej Ketengah ke-4 di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai laporan media yang mendakwa Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri akan menyertai PKR untuk dicalonkan sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.
Ahmad Zahid berkata, parti yang dibentuk dalam Kerajaan Perpaduan tidak seharusnya mengambil mana-mana ahli parti lain dalam gabungan itu bagi menjaga ‘hati’ parti masing-masing.
Justeru beliau menasihati semua parti dalam Kerajaan Perpaduan untuk terus menjaga perpaduan yang terbina dalam gabungan tersebut sebaiknya.
Malah beliau turut mengingatkan ahli dan pemimpin parti untuk mengutamakan kepentingan parti melebihi kepentingan peribadi masing-masing.
“Apa pun agenda peribadi hendaklah diketepikan jika seseorang itu mahu partinya diberikan keutamaan. Kalau memberikan kepentingan peribadi sebagai keutamaan, maka kita serahkan untuk ahli-ahli menilai integriti seseorang itu,” katanya.
Ditanya mengenai laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan, Ahmad Zahid berkata, kerajaan menyerahkan kepada Peguam Negara untuk mengambil tindakan selanjutnya.
Sebelum ini Laporan RCI itu mengesyorkan antara lain, siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengikut Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 417 kanun sama dan juga di bawah Seksyen 418 kanun sama. - BERNAMA
#UMNO #Tengku Zafrul keluar parti #Ahmad Zahid Hamidi #Majlis Tertinggi UMNO
;