UMNO tidak sokong Bersatu kerana kes mahkamah? Itu pemikiran 'pisang goreng' - Khairy

Hasimi Muhamad
Januari 8, 2021 13:28 MYT
Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, kenyataan tersebut jelas sebagai alasan yang tidak berkualiti. - Gambar fail
PUTRAJAYA: “Pisang goreng”.
Demikian respons Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin merujuk kenyataan Datuk Seri Ahmad Maslan bahawa UMNO tidak menyokong Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerana kerajaan Perikatan Nasional (PN) enggan menggugurkan kes mahkamah yang dihadapi pemimpin-pemimpin parti Melayu itu.
BACA: MOSTI lancar Malaysia Grand Challenge, fokus atasi cabaran utama negara
Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, kenyataan Ahmad yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu jelas menunjukkan tahap pemikiran yang sempit.
“Kenyataan tersebut kerana kerajaan ini (PN) tidak mahu campur tangan dalam kes mahkamah, itu pemikiran yang goreng pisang (tahap pemikiran) lah. Dulu lobak merak, sekarang 'pisang goreng'.
“(Maksudnya), tiada alasan yang berkualiti (kukuh),” katanya kepada pemberita di sini, pada Jumaat.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ahmad menerusi laporan sebuah portal berita, yang mendakwa salah satu sebab utama UMNO tidak puas hati dengan PN adalah kerana tindakan PN untuk meneruskan kes mahkamah terhadap parti tersebut dan para pemimpinnya.
Ahli Parlimen Pontian itu berkata, tindakan PN meneruskan ‘kezaliman’ kerajaan terdahulu sebagai tidak wajar, dan menimbulkan tidak puas hati dalam kalangan ahli UMNO.
Selain Datuk Seri Ahmad Zahid dan Datuk Seri Najib Tun Razak, Ahmad juga sedang berdepan perbicaraan di mahkamah atas dakwaan gagal mengisytiharkan RM2 juta yang diterimanya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada 2013.
#Khairy Jamaluddin #Najib Razak #Parlimen #PPBM #Ahmad Maslan #LHDN #Barisan Nasional #UMNO
;