UMNO tidak pernah sekat pemimpin muda jadi calon PRU - Tajuddin
Amirrul Rabbani
April 14, 2021 18:03 MYT
April 14, 2021 18:03 MYT
IPOH: UMNO tidak pernah menyekat pemimpin muda untuk menjadi calon pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.
Justeru, katanya UMNO menyambut baik saranan gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menuntut calon pilihan raya akan datang harus berusia di bawah 65 tahun.
Bagaimanapun, kata beliau UMNO mengamalkan kombinasi calon muda dan calon berusia yang berpengalaman untuk menjadi wakil rakyat serta mentadbir negara.
"Baguslah... jadi orang-orang macam saya bolehlah berehat. Tak payah buat kerja lagi. Tapi... ada tapinya. Saya rasa kita memang menggalakkan orang muda, tokoh-tokoh muda yang ada kelebihan daripada segi fizikal, mental dan sebagainya.
"Tapi ada juga kekurangannya. Pengalamannya tentu tidak boleh dibandingkan dengan orang yang lama. Jadi, pada saya yang penting adalah sumbangan yang dapat diberikan oleh seseorang itu dan tanggungjawab yang diberikan sebagai wakil rakyat," katanya.
Beliau mengulas laporan mengenai lapan NGO menuntut penambahbaikan dalam menyuburkan amalan demokrasi di negara ini termasuk had umur calon Ahli Parlimen di negara ini disyorkan tidak melebihi 65 tahun.
Lapan pertubuhan meliputi gabungan generasi baharu itu ialah Gerakan Belia 4B Malaysia, Keilmuan Nasional, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung, Majlis Belia India Malaysia, Majlis Belia Hindu Malaysia, Majlis Belia Negeri Perak, Majlis Belia Wilayah Persekutuan dan Pergerakan Belia India Muslim Malaysia (Gepima).
Dalam pada itu, Tajuddin menegaskan bahawa UMNO sememangnya banyak memberi ruang kepada pemimpin muda untuk menjadi wakil rakyat selain menteri dan exco kerajaan negeri.
Ujarnya, beliau dahulu antara tokoh muda dalam UMNO yang pernah menjawat jawatan tinggi selain Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik yang menjadi Ketua Menteri Melaka ketika berumur 30-an; Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad (Menteri Besar Negeri Sembilan pada usia 20-an), serta Datuk Seri Najib Tun Razak (Menteri Besar Pahang pada umur 20-an).
Terdahulu, Tajuddin ditemui pemberita selepas menghadiri majlis menandatangani perjanjian Program Belajar Secara Digital antara Taj International College (TIC) bersama lapan agensi di sini pada Rabu.
#UMNO
#calon muda
#PRU
#PRU15
#pilihan raya
#golongan muda
#Golongan berusia
#pengalaman
#kelebihan
#peluang
#Tajuddin Abdul Rahman