UMNO tidak perlu jentera tambahan untuk pertahan Langkawi - Shaiful
Astro Awani
Februari 18, 2018 20:22 MYT
Februari 18, 2018 20:22 MYT
Pemuda UMNO Kedah percaya parti itu tidak perlu membawa jentera tambahan untuk mempertahankan Langkawi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kedah Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, parti juga tidak akan menampilkan calon payung terjun bersifat 'heavyweight' bagi berdepan dengan calon 'nostalgia' seperti yang disebut-sebut akan bertanding di kerusi berkenaan.
"Kita penuh yakin dan percaya jentera Barisan Nasional (BN) Langkawi mampu menggalas tanggungjawab dengan sempurna dan dalam pada masa sama mengekalkan masa depan yang lebih bermakna.
"Kita juga yakin bahawa pengundi Langkawi tidak akan menjadikan sentimen sebagai asas memilih kerajaan pada PRU yang akan datang.
"Mereka akan memilih mana-mana kerajaan yang mampu menggariskan wajah masa depan untuk Langkawi," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
Sebelum ini, Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui mengintai tiga kawasan Parlimen iaitu Kubang Pasu, Langkawi dan Putrajaya untuk bertanding dalam PRU14.
Bagaimanapun, penganalisa politik, Dr Sivamurugan Pandian berkata amat sukar untuk BN menafikan pengaruh Dr Mahathir dan anaknya Datuk Seri Mukhriz di Kedah.
Dalam pada itu kata Shaiful, hakikatnya keupayaan dan keberanian kerajaan hari ini yang sanggup membelanjakan ratusan jutaan ringgit ke atas Langkawi haruslah dinilai daripada aspek visi dan kebijaksanaan membuat keputusan serta bukannya sentimen semata-mata.
"Kita ingin jelaskan bahawa ini bukanlah butang panik seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak tetapi ianya adalah atas dasar tanggungjawab dan perancangan jangka masa panjang serta sederhana kerajaan untuk mempertingkatkan lagi potensi Langkawi sebagai destinasi pelancongan tersohor di dunia.
"Kita juga ingin jelaskan bahawa Langkawi bukan hak milik mutlak pemimpin tertentu tetapi tanggungjawab semua pihak yang menjadi kerajaan," ujarnya.
Kata Shaiful, pengumuman pakej infra yang berjumlah RM600 juta amat bermakna untuk penduduk Langkawi dan secara tidak langsung untuk ekonomi negeri Kedah.
"Hakikatnya Datuk Seri Najib tidak pernah mengabai ataupun melupakan rakyat Langkawi, di dalam beberapa siri lawatan beliau ke Langkawi wajib dibawa sekali pakej-pakej pembangunan kepada rakyat di sana.
"Pemuda UMNO Kedah masih ingat iaitu di dalam lawatan Datuk Seri Najib beberapa bulan yang lalu, beliau turut mengumumkan pembinaan rumah mampu milik dan baik pulih jeti perikanan untuk kegunaan nelayan Langkawi. Ini tidak termasuk beberapa pakej lain di dalam Bajet Rakyat 2018," jelasnya.