UMNO tidak perlu adakan EGM - Puad Zarkashi
Sinar Harian
Ogos 24, 2023 11:00 MYT
Ogos 24, 2023 11:00 MYT
SHAH ALAM: UMNO tidak perlu mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) bagi mengadakan semula pemilihan parti kerana ia telah dibuat tahun lalu dari peringkat Naib Presiden hingga cawangan.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi berkata, melalui pemilihan itu, parti telah melantik Naib Presiden dan majoriti Ketua Bahagian adalah dalam kalangan orang baharu.
"Bahkan selepas UMNO hilang kuasa pada 2018, pemilihan parti dibuat dari atas sampai ke bawah. Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kalahkan Khairy Jamaluddin Abu Bakar atau KJ dan Tengku Razaleigh Hamzah.
"EGM tidak perlu semata-mata untuk putuskan pemilihan parti memandangkan pemilihan tetap berlaku. Tahun lalu parti yang putuskan tidak ada pertandingan nombor satu dan dua," katanya menerusi laman Facebook pada Khamis.
Tambah beliau, adalah lebih baik UMNO melaksanakan 'post mortem' terperinci di semua peringkat.
Terdahulu, Tengku Razaleigh mencadangkan pemilihan perlu diadakan semula untuk menghidupkan kembali parti susulan prestasi buruknya dalam pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos lalu.
Bekas Ahli Parlimen Gua Musang itu berpendapat, parti hanya akan mengalami pembaharuan sebenar menerusi proses pemilihan. - Sinar Harian