'UMNO tidak mati selagi Melayu jadi pengundi majoriti' - Syed Ali

Astro Awani
Januari 20, 2016 07:53 MYT
SYED ALI: Kita kena jumpa rakyat terutama golongan sasaran di peringkat akar umbi, kumpulan ini kadangkala tidak mendapat penjelasan tepat dan terdedah kepada maklumat disalurkan pembangkang. -Gambar fail
UMNO tidak akan 'mati' selagi orang Melayu menjadi pengundi majoriti di negara ini, kata Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Syed Abbas Alhabshee.
Tegasnya, orang Melayu juga sudah muak dengan sandiwara dan kerenah politik parti pembangkang yang hanya mementingkan kuasa tanpa mengambil kira kepentingan rakyat.
"Majoriti orang Melayu dan umat Islam di negara ini tidak mudah menukar keyakinan dan kepercayaan mereka hanya disebabkan permainan pesepsi dan isu yang diputarbelitkan pembangkang.
"Keyakinan bahawa UMNO tetapi hidup sentiasa tinggi kerana orang Melayu cukup sinonim dengan perjuangan parti mengangkat maruah dan martabat mereka," jelasnya dalam catatan terbaru di laman blog http://umnobahagiancheras.blogspot.my miliknya.
BACA: Calon PRU: 'Melayu jangan jadi 'pak sanggup' DAP' - Syed Ali
Untuk mengekalkan kemenangan tersebut katanya, UMNO perlu bekerja keras bagi menepis terjahan pelbagai isu dibangkitkan pembangkang bagi meraih sokongan pengundi menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.
"UMNO kena lebih agresif serta bekerja kuat untuk menepis dan membetulkan persepsi negatif hasil daripada menipulasi pelbagai isu dilakukan pembangkang.
"Saya khuatir, jika UMNO menyifatkan pelbagai isu tersebut sebagai perkara remeh ia pasti akan memberi petaka buruk kepada parti.
"Banyak isu telah dimanipulasikan pembangkang untuk memburuk-burukkan pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN)," katanya.
BACA: 'UMNO bukan sekadar parti pinggiran' - Syed Ali
Tambahnya yang juga Setiausaha Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, selain menggunakan kaedah ceramah menerusi pentas politik mereka juga memperalatkan media alternatif seperti laman-laman sosial untuk meraih sokongan terutama generasi muda.
"Tentera pembangkang mensasarkan generasi muda dengan suapan fitnah dan fakta yang amat mengelirukan yang hampir keseluruhannya merupakan sogokan pembohongan.
"Oleh sebab itu UMNO seharusnya cepat bertindak bagi mematahkan isu tersebut dengan kaedah yang sama seperti dilakukan pembangkang," ujarnya.
Katanya, UMNO perlu segera turun mendampingi rakyat terutama di peringkat akar umbi yang sering menjadi sasaran pembangkang.
"Selaku pemimpin parti, jangan asyik lena dengan keseronokan sehingga menjadi alpa dan cuai kepada tanggungjawab.
"Dalam hal ini, Ahli Majlis Tertinggi (MT) perlu lebih kerap turun padang dan memberi penjelasan kepada rakyat berkait beberapa isu berbangkit.
"Pada hemat saya, Ahli MT boleh main peranan secara lebih positif. Peranan dan tugasan ahli MT UMNO sentiasa diperhatikan oleh ahli UMNO di seluruh negara," jelasnya.
BACA: Kerjasama PAS-UMNO : 'PAS tidak pentingkan masa depan Melayu' - Syed Ali
Syed Ali juga mahu pemimpin UMNO sentiasa turun padang dan memberitahu rakyat terhadap beberapa isu yang menyentuh kehidupan golongan miskin.
"Kita kena jumpa rakyat terutama golongan sasaran di peringkat akar umbi, kumpulan ini kadangkala tidak mendapat penjelasan tepat dan terdedah kepada maklumat disalurkan pembangkang.
"Adalah tidak relevan lagi untuk UMNO sekadar berdialog dan membuat seminar di bilik hawa dingin sedangkan rakyat di bawah tidak diberikan perhatian.
"Mereka perlu ingat UMNO selama ini mendapat sokongan padu daripada pengundi di kampung dan kawasan pinggir bandar pada setiap kali PRU," katanya.
BACA: 'Jangan ungkit kisah lama untuk gagalkan kerjasama UMNO-PAS' - Syed Ali
Dalam pada itu Syed Ali turut mengakui UMNO berdepan saingan paling sukar bagi memastikan kemenangan pada PRU akan datang seterusnya mempertahankan Putrajaya.
"Memang sukar tetapi jika kita bekerja keras dan menjawab pelbagai isu yang dibangkitkan pembangkang, rakyat pasti akan bersama UMNO," tegasnya.
#majoriti #pengundi #Syed Ali #UMNO
;