UMNO tidak main politik menakut-nakutkan rakyat - Najib
Nazialita Geynna Maharan
Julai 29, 2017 14:12 MYT
Julai 29, 2017 14:12 MYT
Datuk Seri Najib Razak hari ini menegaskan pemimpin UMNO perlu sentiasa memberikan harapan dan keyakinan bagi pembangunan rakyat, bukannya memainkan elemen menakut-nakutkan seperti yang dilakukan pembangkang.
Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO itu berkata, permainan 'politics of fear' hanya digunakan oleh pihak yang tidak mempunyai kuasa dan bertujuan menumbangkan pemimpin di tampuk pemerintahan.
Jelas beliau, permainan politik yang berasaskan elemen ketakutan hanya akan merosakkan dan menghancurkan harapan rakyat kepada negara.
"Kita akan berkecamuk, bercelaru, tidak tentu hala, tak ada panduan tetapi UMNO akan terus memberi pengharapan kepada rakyat kerana kita telah membuktikan selama 60 tahun UMNO memerintah, kitalah parti yang telah banyak berbudi dan berjasa dan bawa perubahan kepada Malaysia," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian persidangan perwakilan UMNO Bahagian Parit di Dewan Iltizam, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Parit di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, merangkap Pengerusi UMNO Negeri Perak, dan barisan kepimpinan kerajaan negeri serta ahli-ahli UMNO Bahagian Parit.
Beliau dalam pada itu juga menyokong ucapan Zambry yang menyatakan bahawa terdapat dua dimensi politik di Malaysia iaitu politik menakut-nakutkan dan politik harapan.
Katanya, rakyat sewajarnya meletakkan keyakinan sepenuhnya kepada UMNO yang menerajui Malaysia selama ini.
Najib berkata, beliau tidak menafikan berlaku perbezaan pendapat di kalangan pemimpin UMNO, namun ia tidak menjadi punca utama yang menghancurkan parti.
Sebaliknya, katanya, mereka harus setia kepada parti untuk terus memberikan yang terbaik buat rakyat.
Jelasnya, pemimpin juga perlu memainkan peranan agar rakyat sentiasa memberikan kepercayaan kepada 109 bahagian UMNO di seluruh negara yang mempunyai rangka organisasi tersusun rapi selama ini.
Beliau berkata, peristiwa hitam di bawah tampuk pemerintahan pembangkang selama 11 bulan yang dialami rakyat di Perak sewajarnya menjadi iktibar kepada masyarakat setempat.
“Kita mesti lakukan usaha mendekati pengundi, turun padang, nampak muka. Jangan bila dah dekat (pilihan raya), itu tidak boleh... Selesaikan masalah rakyat, baik besar dan kecil."
Najib turut menyentuh pembinaan projek Transit Aliran Massa (MRT) sepanjang 51 kilometer yang secara tidak langsung membantu menjana ekonomi luar bandar.
"Orang ada tanya saya buat apa Datuk lambakkan peruntukan di Lembah Klang. Ni teman nak terangkan ni, Bila kita buat projek di Kuala Lumpur, ekonomi kita bertambah. Bila ekonomi bertambah, hasil negara bertambah.
"Bila hasil bertambah, maka kita gunakan peruntukan itu untuk (disalurkan) ke luar bandar juga," katanya lagi.
Katanya, projek MRT itu antara lain akan membuka peluang kepada anak-anak muda baik dari dalam dan luar bandar untuk bersaing dengan lebih kompetitif di peringkat global.
Najib juga tegas menafikan kononnya Malaysia gagal di bawah pemerintahan UMNO sedangkan ia telah diiktiraf oleh sebuah majalah bertaraf dunia baru-baru ini.
#MRSM Parit
#Najib Razak
#parit
#pembangkang
#politik
#politik menakut-nakutkan
#sawah
#UMNO
#Zambry Abd Kadir