UMNO tidak gusar formula pembahagian kerusi Pakatan Harapan - Syed Ali

Astro Awani
Februari 6, 2018 07:46 MYT
SYED ALI: Formula pembahagian kerusi parti dalam Pakatan Harapan membabitkan Parlimen dan DUN tidak mencerminkan keikhlasan sesama mereka.
UMNO tidak terkesan dengan persetujuan yang dicapai Pakatan Harapan berhubung kaedah pembahagian kerusi menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Ketua UMNO Bahagian Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, biarpun media siber pro-pembangkang melaporkan kalangan mereka sudah bersetuju dengan formula pembahagian kerusi, keputusan sesama mereka tetap bercelaru.
"Formula pembahagian kerusi parti-parti pembangkang dalam Pakatan Harapan membabitkan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) tetap tidak mencerminkan keikhlasan sesama mereka," katanya dalam catatan terbaharu di laman blog umnobahagiancheras.blogspot.my miliknya.
BACA: ROS tidak lembab teliti 47 aduan pelanggaran perlembagaan PPBM - TPM
BACA: Pakatan Harapan gagal selesai pertikaian, gambaran mereka tidak sepakat
Tegas beliau, UMNO termasuk Barisan Nasional (BN) tidak pernah gusar atau tersentak dengan cara pembangkang kerana pengalaman lalu menunjukkan ada di kalangan mereka yang kecewa akan bertanding sebagai calon bebas.
"Oleh sebab itu, UMNO tidak menganggap ianya satu tekanan atau terkesan dengan cara mereka kerana seperti umum sedia maklum, DAP, parti rasis tetap mendominasi pakatan tersebut.
"Parti-parti serpihan seperti Amanah dan PKR tidak akan berfungsi lebih jauh kerana terikat dengan telunjuk DAP.
"Pakatan Harapan sebenarnya tidak mempunyai kekuatan pengaruh dan idealisma perjuangan yang boleh meyakinkan rakyat terutama orang Melayu di kawasan pinggir dan luar bandar," ujarnya.
Oleh sebab itu dakwa beliau, Pakatan Harapan hanya mengharapkan kemunculan Tun Dr Mahathir Mohamad, biarpun pengaruh bekas Perdana Menteri itu sudah luntur.
Malah ujar Syed Ali, Pakatan Harapan juga meletakkan harapan yang tinggi terhadap kebebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum berlangsungnnya PRU14.
"Mereka hanya bergantung harap kepada Dr Mahathir dan Anwar, bukannya kepada Mohamad Sabu mahupun Lim Kit Siang," katanya.
Beliau yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan menambah, rakyat terutama orang Melayu tidak akan memperjudikan masa depan mereka hanya keranan kepentingan politik Dr Mahathir dan Anwar.
"Adalah tidak munasabah untuk orang Melayu memberi undi mereka hanya disebabkan Dr Mahathir, Anwar dan kuncu-kuncu DAP dalam Pakatan Harapan," tegasnya.
Sebaliknya jelas Syed Ali, UMNO walaupun hebat diserang dan difitnah tetapi tetap meletakkan kepentingan rakyat pelbagai kaum dan orang Melayu sebagai teras perjuangan poltik.
"UMNO bergerak dalam satu pasukan yang mantap bersandarkan semangat musyawarah bersama regu politiknya dalam BN dalam menghadapi pelbagai dugaan dan cabaran.
"Inilah resepi kejayaan BN selama ini yang berjaya memacu pembangunan Malaysia sebagai sebuah negara yang cemerlang dan rakyatnya turut merasai nikmat daripada kemajuan tersebut," ujarnya.
Mengenai pandangan yang dilontarkan menerusi media sosial bahawa wakil rakyat UMNO yang sudah beberapa penggal diberikan peluang bertanding PRU, Syed Ali menjelaskan perkara itu ada baik dan tidaknya.
"Pandangan mereka di luar sana mungkin berasas dan perlu diberikan perhatian, tetapi apa juga keputusan memilih calon UMNO dan BN terletak di atas kebijaksanaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Bagaimanapun, mana-mana wakil rakyat yang berasakan diri mereka sudah terlalu lama seeloknya memikirkan pula untuk berundur bagi memberi laluan kepada calon muda yang lebih berwibawa sesuai dengan peredaran masa.
"Pada hemat saya, serahkanlah kepada Najib yang juga Presiden UMNO kerana beliau mempunyai caranya tersendiri dalam soal pemilihan calon, matlamatnya mengekalkan kemenangan lebih besar kepada UMNO dan BN pada PRU akan datang," tegasnya.
Syed Ali turut menyelar sesetengah pihak yang melemparkan pelbagai tuduhan tidak berasas terhadap Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) kerana belum lagi meluluskan pendaftaran parti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
"Kita boleh tunding jari kepada RoS dengan pelbagai tuduhan seperti zalim dan sebagainya, tetapi apakah kita tahu tahu bidang tugas serta prosedur yang dilakukan oleh pihak berkenaan sebelum sesuatu pendaftaran diluluskan?" soalnya.
Ditanya apakah kemungkinan PPBM tidak boleh menyertai PRU akan datang jika pendaftarannya masih tidak diluluskan, Syed Ali menjelaskan perkara tersebut termasuk dalam undang-undang berkaitan.
"Kalau sudah tidak lulus pendaftaran, bagaimana hendak bertanding, jadilah pertubuhan haram," tegasnya.
Pengerusi PPBM, Dr Mahahthir sebelum ini melahirkan kebimbangan beliau terhadap nasib parti serpihan itu kerana sehingga kini pendaftarannya masih belum diluluskan pihak RoS.
#Anwar Ibrahim #DAP #Lim Kit Siang #Mahathir Mohamad #Najib Razak #PKR #PPBM #UMNO
;