UMNO tidak akan pinggirkan Najib
Harits Asyraf Hasnan
November 11, 2019 14:38 MYT
November 11, 2019 14:38 MYT
Tidak wujud sebarang perancangan untuk UMNO meminggirkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selepas Mahkamah Tinggi mengarahkan bekas Presiden UMNO itu membela diri melibatkan tujuh pertuduhan berkaitan dana SRC International.
Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pendirian parti masih kekal walaupun pelbagai pertuduhan dan siasatan melibatkan Najib.
Malah, kes tersebut juga, kata beliau, tidak menjejaskan semangat dan sokongan terhadap Barisan Nasional dalam mendepani Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.
“Dia (Najib) telah datang (kempen), yang terakhir semalam dan sambutan kepada beliau masih tetap luar biasa.
“Sesiapa sahaja ingin membantu (calon BN), kita akan bagi ruang yang secukupnya.
“Bukan hanya memperjelaskan isu-isu yang ada tetapi untuk melihat bahawa sokongan harus diberikan kepada calon BN,” katanya ketika ditemui media di Parlimen hari ini.
Dalam pada itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri ismail Sabri Yaakon turut berpendirian sama yang melihat PRK Tanjung Piai tidak akan terjejas akibat keputusan hakim itu.
“Saya rasa kita tidak akan menjarakkan diri dengan Najib kerana isu ini melibatkan isu peribadi dan dia pun menghadapi kes di mahkamah secara peribadi.
"Najib pernah kata tidak akan melibatkan UMNO dalam kes dia. Dia akan teruskan dengan kes di mahkamah malah pemimpin lain pun terlibat dengan kes di mahkamah.
“Itu adalah isu yang melibatkan diri mereka sendiri bukan melibatkan parti dan sebagainya, tetapi sebagai bekas Presiden parti, kita akan terus beri sokongan moral kepada Najib untuk menghadapi kes ini,” katanya.
#1MDB
#ismail sabri yaakob
#Kes SRC
#Mahkamah Tinggi
#Malaysia Baharu
#Najib Razak
#Presiden UMNO
#UMNO
#Zahid Hamidi