UMNO tiada kuasa, sekadar ‘penumpang’ dalam Kerajaan - Muhyiddin
Firdaus Azil
November 24, 2023 15:07 MYT
November 24, 2023 15:07 MYT
SHAH ALAM: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa kedudukan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan sekadar 'penumpang' dan tidak mampu membela kedudukan Melayu dan Bumiputera di negara ini.
Bekas perdana menteri itu berkata, dengan sekadar 26 kerusi Parlimen, Pakatan Harapan yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat masih mampu memerintah Kerajaan.
Beliau berkata, kuasa politik yang selama ini diterajui oleh parti Melayu kini telah hilang dari tangan orang Melayu akibat ‘percaturan kuasa’ selepas Pilihan Raya Umum ke-15.
“Jadi, walaupun kita (Bersatu dan Perikatan Nasional) berasa bangga dengan pencapaian parti kita dalam Pilihanraya Umum dan Pilihanraya Negeri yang lalu, namun hakikatnya orang Melayu telah hilang kuasa.
“Kerana itu, janganlah kita berasa hairan apabila kerajaan hari ini secara sedar mengambil tindakan-tindakan yang menyentuh sensitiviti orang Melayu dan umat Islam,” katanya sewaktu menyampaikan Ucapan Dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu di Shah Alam, pada Jumaat.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata penubuhan Bersatu adalah sejajar dengan perjuangan nasionalisme Melayu yang adil, seimbang, dan inklusif dalam sebuah negara berbilang kaum seperti yang diperjuangkan oleh pejuang bangsa terdahulu.
Tambahnya, walaupun Bersatu baru berusia tujuh tahun, susur galur, semangat dan matlamat perjuangannya telah berakar umbi di Malaysia, dan sebati dengan citra, jiwa dan identiti bangsa sejak puluhan dekad lamanya.
Muhyiddin berkata, landskap politik negara masa kini menyaksikan buat pertama kalinya sejak Malaysia mencapai kemerdekaan, parti politik Melayu bukan lagi parti yang menerajui Kerajaan Persekutuan.
“Pakatan Harapan yang hanya memenangi 82 kerusi parlimen membentuk kerajaan dengan sokongan parti-parti lain.
"Buat pertama kali dalam sejarah, Perdana Menteri bukan dari parti Melayu. Malah, parti cauvinis yang anti-Melayu dan anti-Islam, iaitu DAP, merupakan parti yang terbesar dalam kerajaan hari ini.
“Perikatan Nasional yang memenangi 74 kerusi dengan dokongan besar orang Melayu pula menjadi pembangkang.
"Buat pertama kali dalam sejarah juga, pembangkang di negara kita adalah 100 peratus Melayu dan Bumiputera,” katanya lagi.
Muhyiddin menyeru ahli-ahli parti agar menampilkan citra Bersatu sebagai sebuah parti politik abad ke-21 yang akan memayungi kepentingan orang Melayu dan Bumiputera serta melindungi hak-hak yang sah untuk semua kaum.