UMNO terus sokong kerajaan PN, saran agar Rekonsiliasi Nasional segera dilaksanakan
Astro Awani
Oktober 26, 2020 00:39 MYT
Oktober 26, 2020 00:39 MYT
KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO mengambil keputusan akan terus mendukung kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kenyataan malam ini berkata, UMNO turut mengekalkan keputusan terdahulu iaitu menjalin kerjasama tanpa PKR dan DAP.
"UMNO juga menyarankan agar inisiatif Rekonsiliasi Nasional atau Agenda Perdamaian Nasional segera dilaksanakan dengen mengembeleng penyertaan semua parti politik yang bernaung dalam Perikatan Nasional dan pembangkang," katanya.
Selain itu, Ahmad Zahid turut memaklumkan, parti itu juga menggesa penambahbaikan prinsip kerjasama yang berpaksikan nilai penghormatan dan konsensus politik.
"Menjunjung kasih keputusan titah Yang di-Pertuan Agong menolak permohonan yang dipersembahkan oleh Perdana Menteri bagi pelaksanaan darurat.
"Mendukung sepenuhnya titah dan saranan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja agar dikendurkan segala ketegangan politik dengan melakukan gencatan politik bagi memastikan kestabilan politik negara dapat terus dipertahankan," ujarnya.
Katanya, bagi UMNO, keputusan yang turut diperbincangkan dengan Majlis Raja-Raja tersebut adalah amat bijaksana dan cukup melegakan rakyat.
Tambah Ahmad Zahid, UMNO juga mahu memastikan ketapan Perhimpunan Agung UMNO untuk memperkasakan Muafakat Nasional agar dapat terus dilaksanakan.
#UMNO
#Perikatan Nasional
#Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi
#PKR
#DAP
#konsensus politik
#rekonsiliasi nasional
#Agenda Perdamaian Nasional
#Ahmad Zahid Hamidi
#Yang di-Pertuan Agong