UMNO terus jadi 'alat' DAP jika menang PRN - Annuar
Hasimi Muhamad
Ogos 6, 2023 14:00 MYT
Ogos 6, 2023 14:00 MYT
KUALA SELANGOR: Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini disifatkan sebagai peluang terakhir untuk ahli dan penyokong UMNO menyelamatkan parti Melayu itu.
Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berkata, usaha memulihkan UMNO boleh dilakukan melalui referendum rakyat dan menyatakan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN).
Dengan cara itu, Annuar berkata UMNO akan sedar bahawa rakyat menolak parti itu yang dipimpin oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
“Jadi sekarang hanya ada satu ruang, iaitu sekiranya ahli-ahli UMNO bekerjasama menunjukkan isyarat UMNO ditolak oleh rakyat, kesemua sekali kerana Presidennya (Ahmad Zahid).
“Maka itu peluang terbaik untuk memperbaiki UMNO apabila Ahmad Zahid terpaksa akur kepada satu referendum rakyat pada pilihan raya akan datang.
"Dan ini peluang terakhir ahli-ahli UMNO menyelamatkan UMNO dengan menyertai referendum rakyat, walaupun terpaksa melihat UMNO kalah teruk.
"Hanya dengan kekalahan yang teruk, barulah UMNO dapat diselamatkan,” katanya ketika ditemui selepas Ceramah Umum di Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang, di sini malam tadi.
Mengulas lanjut, bekas Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, jika UMNO menang dalam PRN ini, parti itu didakwa akan terus menjadi ‘alat’ kepada DAP, dan Ahmad Zahid pula kekal dengan dasarnya sekarang.
"DAP makin kukuh dan Ahmad Zahid akan kekal dengan dasar dia sekarang," tambah Annuar.
Ditanya adakah beliau masih menyayangi UMNO, Annuar berkata semua orang Melayu menyayangi parti itu termasuk Pas.
“Tapi Pas tidak pernah nak mematikan UMNO. Kita berjuang seiring dengan UMNO. UMNO ada peranan dia, dan Pas ada peranan dia.
“Bila UMNO lemah, Pas wajib menjadi pengganti. Sekarang Pas mesti mengambil obor-obor yang dicampak oleh UMNO,” katanya lagi.
Mengenai peluang PN di enam negeri, Annuar yakin pengundi Melayu dan bukan Melayu akan bersatu padu di bawah obor sama dengan menyokong PN.