UMNO terima implikasi besar jika keluar Perikatan Nasional - Penganalisis
Isabelle Leong
Januari 6, 2021 11:10 MYT
Januari 6, 2021 11:10 MYT
KUALA LUMPUR: Sekiranya UMNO membuat keputusan untuk keluar daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN), implikasi yang besar bakal diterima parti tersebut.
Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata ia tentunya akan memberikan impak kepada ahli UMNO yang merupakan menteri dalam Kabinet.
“Saya percaya UMNO harus memperhalusi dan meneliti apa sahaja keputusan yang dibuatnya.
“Apakah implikasinya kepada persepsi daripada kalangan orang ramai dan lebih besar daripada itu, ia juga akan memberi impak kepada mereka yang ada dalam Kabinet.
"Sudah pasti ia juga akan memberi kesan kepada mereka yang memegang jawatan dalam Kabinet kerajaan.
“Jika mereka membuat keputusan untuk keluar, saya percaya ia akan menzahirkan keadaan yag tidak menentu yang juga melahirkan keadaan tidak stabil, bukan sahaja kepada kerajaan tetapi juga kepada parti, pemimpin UMNO dan Barisan Nasional,” kata Dr Sivamurugan dalam temu bual bersama Buletin AWANI pada Rabu.
Pada Selasa, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan memberi gambaran bahawa sebarang keputusan pemimpin UMNO keluar dari kerajaan PN akan ditentukan pada Rabu dalam Mesyuarat Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.
Dalam perkembangan yang sama, Dr Sivamurugan berkata MKT UMNO akan memberikan tumpuan kepada usul yang ditentukan Mesyuarat Perwakilan UMNO bahagian.
“Kami lihat barangkali, mesyuarat itu penting untuk menentukan hala tuju UMNO dan apakah sentimen ataupun gelombang ‘anti-Bersatu’ itu akan dipertimbangkan dalam bentuk keputusan untuk kekal dengan PN sehingga pilihan raya nanti atau membuat keputusan untuk segera keluar yang boleh menyebabkan PN tumbang,” katanya.
#UMNO
#Perikatan Nasional
#PN
#Barisan Nasional
#Setiausaha Agung UMNO
#Ahmad Maslan
#Mesyuarat Kerja Tertinggi UMNO
#Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian
#politik
#kerajaan
#kabinet
#menteri