UMNO Terengganu bersedia hadapi PRN awal - Ahmad Razif

Astro Awani
Ogos 4, 2016 20:42 MYT
Menteri Besar Ahmad Razif Abdul Rahman yakin UMNO Terengganu bersedia menghadapi Pilihan Raya Negeri berikutan krisis politik negeri, ketika menjawab soalan media selepas merasmikan Hari Koperasi Negara hari ini. - Foto Bernama
UMNO Terengganu bersedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) lebih awal sekiranya kemelut politik yang dikatakan melanda negeri itu menemui jalan buntu dan tiada pilihan lain.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman bagaimanapun berkata, pihaknya lebih mengutamakan kepentingan rakyat dan akan mempastikan kerajaan sedia ada terus dipertahankan sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 diadakan.
Menurut Ahmad Razif yang juga Menteri Besar, walaupun pelbagai spekulasi ditimbulkan, pihaknya yakin rakyat akan terus memberi sokongan kepada kerajaan sedia ada.
BACA: PRN awal jalan terbaik selesaikan kemelut kepimpinan - PAS Terengganu
BACA: Politik Terengganu stabil, tidak perlu pilihan raya negeri awal - Ahmad Razif
BACA: Ahmad Razif pertahan usul pecat Datuk Seri Ahmad Said
“Buat pilihan raya sekarang ini belanjanya bukan sedikit dan bila PRU nanti kerusi Parlimen kena buat sekali lagi. Ini bermakna negeri Terengganu kena buat dua kali. Jadi ada kosnya.
“Tetapi kalau keadaan itu terpaksa maknanya kerajaan negeri sudah bersiap sedia. Kita memberi jaminan bahawa kerajaan Negeri, Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan. Kita kena sentiasa bersiap sedia tidak ada masalah,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Koperasi Negara peringkat negeri di Kuala Terengganu.
Ahmad Razif berkata meskipun berlaku pelbagai kemelut, beliau tetap positif dan yakin Barisan Nasional mampu memperoleh kemenangan seperti mana Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar, Perak dan Sungai Besar, Selangor sekiranya PTN diadakan.
#Ahmad Razif #Ahmad Said #DUN Terengganu #Menteri Besar Terengganu #MT UMNO #pecat ahli UMNO #PRN
;