UMNO tentukan status bertanding PRK Port Dickson esok - Asyraf Wajdi

Bernama
September 23, 2018 22:14 MYT
ASYRAF WAJDI: Kita akan tentukan hal itu esok. - Gambar fail
UMNO akan bermesyuarat esok untuk menentukan sama ada akan bertanding atau tidak pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Port Dickson, kata Ketua Pemuda Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
"Kita akan tentukan hal itu esok," katanya selepas menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO yang dipengerusikan presiden parti Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini.
Sementara itu, satu sumber UMNO yang tidak mahu namanya disiarkan berkata mesyuarat Biro Politik itu akan dipengerusikan sendiri Ahmad Zahid Hamidi bagi membuat keputusan penting berhubung PRK itu.
"UMNO dan MIC perlu mendapatkan persetujuan siapa yang akan bertanding," kata sumber itu.
BACA: PRK Port Dickson pada 13 Oktober
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) telah menetapkan PRK Parlimen Port Dickson pada 13 Oktober ini dengan penamaan calon pada 29 Sept selain tempoh berkempen berlangsung selama 14 hari.
Pengosongan kerusi Parlimen Port Dickson oleh penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah pada 12 Sept membolehkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.
Pada PRU14 9 Mei lepas, Danyal memenangi kerusi itu dengan majoriti 17,710 undi mengalahkan calon Barisan Nasional Datuk V.S. Mogan dan Mahfuz Roslan dari PAS.
-- BERNAMA
#Ahmad Zahid Hamid #Anwar Ibrahim #Asyraf Wajdi Dusuki #Ketua Pemuda UMNO #Majlis Tertinggi UMNO #pilihan raya kecil #PRK Port Dickson #UMNO
;