UMNO tarik sokongan: Situasi sekarang hampir sama 'Langkah Sheraton' - Penganalisis

Madiha Abdullah
Ogos 3, 2021 23:23 MYT
Awang Azman berkata, dalam politik tidak ada satu lawan atau kawan yang kekal, yang kekal hanyalah kepentingan. - Gambar/ Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Tindakan UMNO menarik balik sokongan terhadap Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa, bukan satu perkara luar biasa.
Penganalisis Politik, Prof Awang Azman Awang Pawi berpendapat, apa yang terjadi adalah keadaan dinamik biasa dalam politik, malah situasi hampir sama pernah dilihat semasa 'Langkah Sheraton' tahun lalu.
"Dalam politik tidak ada satu lawan atau kawan yang kekal, yang kekal hanyalah kepentingan.
"Untuk seorang ahli politik, 24 jam itu tempoh yang lama kerana banyak perkara boleh berlaku dan berubah dalam sekelip mata.
"Tidak sama sepenuhnya tetapi kita pernah lihat perkara hampir serupa berlaku dalam 'Langkah Sheraton' ketika Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bawa beberapa orang Ahli Parlimen keluar daripada PKR untuk menumbangkan Pakatan Harapan," katanya dalam program Wacana Sinar bertajuk Apa 'Cer' Politik Malaysia, pada Selasa.
UMNO sebulat suara tarik balik sokongan terhadap kerajaan PN
BACA: [LAPOR LANGSUNG] MKT UMNO tarik sokongan, Muhyiddin perlu berundur - Ahmad Zahid
Jelasnya, langkah seterusnya yang boleh dijangka adalah campur tangan institusi raja, di mana Yang di-Pertuan Agong perlu mengambil peranannya.
"Yang di-Pertuan Agong perlu panggil menghadap ketua-ketua parti dan meminta mereka menjelaskan pendirian.
"Ini juga sama seperti selepas berlakunya 'Langkah Sheraton', yang membawa kepada pembentukan PN," ujarnya.
Penyelesaian terbaik ketika ini, kata Awang Azman, adalah pembentukan kerajaan interim untuk tempoh enam bulan atau setahun.
Pendapat yang hampir sama juga dikongsi seorang lagi penganalisis politik, Mohammad Tawfik Yaakob yang percaya rakyat kini sedang memerhatikan setiap langkah yang diambil para pemimpin.
"Kerajaan masih ada. Pertukaran kerajaan tak boleh buat macam tukar tempat tinggal.
"Ia perlu dilakukan mengikut prosedur Perlembagaan. Kalau setakat nombor, sesiapa pun boleh cakap dia ada nombor (jumlah) tertentu," katanya.
Tegasnya, politik matang tidak memerlukan istilah propaganda seperti derhaka atau pintu belakang, sebaliknya berasaskan prinsip Perlembagaan, nilai adab dan rasa hormat terhadap rakyat.
"Bercakaran dalam politik perkara biasa. Tetapi percakaran yang bermaruah adalah menerusi pilihan raya umum nanti.
"Ahli politik 'dinosaur' kena berundur. Kita sekarang berada di era politik baharu.
"Kalau betul sayangkan negara dan berjiwa besar, berilah peluang kepada nafas baharu dalam politik," katanya lagi.
#UMNO #tarik sokongan #kerajaan PN #Zahid Hamidi #MKT UMNO #ahli Parlimen #penganalisis #Langkah Sheraton #Azmin Ali
;