UMNO tarik sokongan: Pejuang enggan masuk campur, beri tumpuan krisis kesihatan, ekonomi - Mukhriz
Nickyson Nyambar
Ogos 3, 2021 22:30 MYT
Ogos 3, 2021 22:30 MYT
KUALA LUMPUR : Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) tegas dengan pendiriannya untuk tidak mengulas berkenaan dengan kemelut politik negara ketika ini.
Menurut Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, parti itu menjunjung kasih titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar tumpuan ketika ini diberikan kepada langkah menangani krisis ekonomi dan kesihatan.
"Sememangnya itu yang dihasratkan oleh Pejuang ketika mencadangkan penubuhan Majlis Pemulihan Negara dengan menggembleng tenaga pakar bagi memberi tumpuan menyelesaikan masalah yang dihadapi," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa,
Oleh yang demikian, jelas beliau, parti itu yang berpaksikan semangat mendahulukan kepentingan rakyat, berpendirian untuk tidak mahu ikut campur dalam perkembangan terbaharu yang dicetuskan oleh pelbagai parti politik.
Terdahulu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memutuskan untuk berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong, dan tidak akan mempertahankan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan pimpinan Muhyiddin gagal di mata rakyat, dan keputusan itu selaras dengan Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO.
#Pejuang
#Datuk Seri Mukhriz Mahathir
#UMNO tarik diri
#Zahid Hamidi
#UMNO
#sokongan
#Yang di-Pertuan Agong
#MKT UMNO
#krisis ekonomi
#kesihatan
#Majlis Pemulihan Negara