UMNO tarik sokongan: Empat kemungkinan bakal berlaku - Sivamurugan
Eton Khir
Ogos 3, 2021 20:49 MYT
Ogos 3, 2021 20:49 MYT
KUALA LUMPUR: Institusi kerajaan Perikatan Nasional secara tidak langsung 'telah tumbang' selepas pengumuman Presiden UMNO berhubung keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO untuk berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong dan tidak akan mempertahankan Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Penganalisis Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Sivamurugan Pandian berkata, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melalui pengumumannya dalam sidang media Presiden UMNO yang berlangsung secara maya pada Selasa, telah memberikan impak besar terhadap landskap politik negara.
Menurut Sivamurugan, ada beberapa pilihan yang boleh diambil kerajaan dalam menangani fasa polemik politik yang melanda negara ketika ini.
[TERKINI] MKT UMNO tarik sokongan terhadap PN - Prof Sivamurugan Pandian
BACA: Kerajaan PN ibarat 'itik tempang' - Rafidah Aziz
"Jika dilihat beberapa pilihan sudah pasti ia akan membawa peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin jika dirasakan sokongan sudah tidak ada. Keduanya ialah nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong untuk pembubaran Parlimen," katanya ketika ditemu bual dalam Buletin Khas Astro AWANI, di sini pada Selasa.
"Ketiga, barangkali, berlaku pelantikan Perdana Menteri baharu, jika UMNO dan pihak kerajaan lain mahu melakukan penjajaran baharu. Keempat, barangkali perlu ada satu bentuk kerajaan sementara (interim)," ujar Sivamurugan.
Namun, katanya, cadangan itu juga adalah tertakluk dan bergantung sejauh mana persetujuan pihak Istana selepas mengenal pasti kesahihan dokumen yang menunjukkan surat Akuan rasmi atau apa sahaja (dokumen) yang berkaitan.
Tambah Sivamurugan, dalam situasi sekarang, strategi pelaksanaan penting dalam memastikan kedudukan institusi Kerajaan sekarang.
"Jadi, dalam konteks sekarang ini, kita tidak hanya melihat kepada pembubaran atau melakukan pilihan raya tapi kita juga melihat penjajaran di dalam Perikatan Nasional (PN) untuk membolehkan UMNO meneraju," katanya.
Sivamurugan turut menegaskan, rakyat perlu memahami bahawa segala keputusan adalah tertakluk kepada pihak istana untuk memutuskan segala kesahihan dan keputusan akhir bagi pelantikan PM Malaysia untuk kerajaan, negara dan rakyat.
#Muhyiddin Yassin
#Zahid Hamidi
#Presiden UMNO
#Muhyiddin letak jawatan
#Sidang Media Presiden UMNO
#Yang di-Pertuan Agong
#kemelut politik
#pembubaran Parlimen
#Kerajaan interim