UMNO Tanjung Malim lapor polis kain rentang desak Zahid letak jawatan
Abd Razak Mohd Ali
Januari 25, 2021 09:21 MYT
Januari 25, 2021 09:21 MYT
TANJUNG MALIM: UMNO Bahagian Tanjung Malim membuat laporan polis berhubung kain rentang yang mendesak Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO.
Pemangku Ketua Bahagiannya, Mohd Zaidi Aziz menafikan ia dilakukan oleh ahli UMNO di bahagiannya.
Sebaliknya, beliau menyifatkkannya sebagai satu fitnah yang berlaku dan ia dilihat berleluasa sekali dalam masyarakat hari ini.
“Bagi saya kain rentang itu adalah alat konvensional namun masih lagi menjadi penyumbang tersebarnya fitnah dan jelas ini juga propaganda pihak tertentu,” katanya dalam hantaran di dalam laman Facebook miliknya hari ini.
Berdasarkan maklumat di dalam Facebook itu, laporan polis dibuat Setiausaha UMNO Bahagian Tanjung Malim, Sulong Jamil Mohamed Shariff di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim di Slim River pada 9.43 malam tadi.
Menurut laporan itu, Sulong Jamil berkata, kira-kira jam 5.07 petang, beliau terbaca pesanan ringkas dalam aplikasi WhatsApp di dalam kumpulan Suara Generasi Felda Besout, sekeping kain rentang yang tergantung di papan tanda pintu masuk ke Felda Besout.
Katanya, kain rentang berwarna merah dengan tulisan putih itu tertera perkataan ‘Dato Seri Ahmad Zahid Hamidi mohon letak jawatan Presiden UMNO’ dan di bawah tertulis UMNO Bahagian Tanjung Malim beserta logo parti itu.
Sambil menafikan penglibatan UMNO Bahagian Tanjung Malim, Sulong Jamil meminta pihak polis menjalankan siasatan sehingga tertangkap dalang yang melakukan perbuatan itu.
Dalam pada itu, Mohd Zaidi berkata, bagi pereka fitnah berkenaan, persaingan dalam merebut jawatan dan kepentingan politik, kedengkian terhadap kelebihan orang lain terbit daripada hati yang kotor, bermasalah dan tidak dibenteng dengan iman yang teguh.
“Saya harap mereka-mereka ini berhentilah. Perbuatan fitnah ini akan menatijahkan pelbagai kesan buruk dan membawa kerosakan yang amat dahsyat ke atas masyarakat dan negara,” ujarnya.
Sementara itu, kain rentang yang sama turut dipasang di dua lokasi di Kuala Kangsar.
Ketua UMNO Bahagian Kuala Kangsar, Maslin Sham Razman di dalam hantaran di akuan Facebook miliknya berkata, pihaknya akan membuat laporan polis hari ini.
#Zahid Hamidi
#UMNO
#Presiden UMNO
#letak jawatan
#kain rentang
#Tanjung Malin
#laporan polis
#fitnah