UMNO Tanjong Malim gesa tindakan tegas terhadap anggota parti

Bernama
Mac 5, 2016 17:18 MYT
Semalam, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengetuai kumpulan lebih 50 orang dalam memeterai deklarasi menyokong penyingkiran Datuk Seri Najib Tun Razaksebagai perdana menteri. - Gambar AFP/Mohd Rasfan
UMNO Bahagian Tanjung Malim menggesa Majlis Tertinggi UMNO mengadakan mesyuarat tergempar bagi mengambil tindakan tegas terhadap pemimpin dan anggotanya yang melanggar etika parti kerana bersekongkol dengan pembangkang bagi menjatuhkan Presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ketua UMNO Bahagian Tanjong Malim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib berkata UMNO bahagian itu juga kesal dengan tindakan kumpulan itu yang ingin menjatuhkan Najib daripada jawatan perdana menteri secara tidak demokratik.
"Kami melahirkan rasa kesal dan kecewa atas sikap segelintir pemimpin dan bekas pucuk pimpinan UMNO yang bersekongkol dengan parti pembangkang dalam agenda untuk menjatuhkan Najib," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya UMNO bahagian itu akan tetap memberikan taat setia tanpa berbelah bahagi terhadap kepimpinan Najib sebagai perdana menteri dan presiden parti.
Semalam, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengetuai kumpulan lebih 50 orang termasuk Lim Kit Siang daripada DAP dan Menteri Besar Selangor Datuk Mohamed Azmin Ali daripada PKR dalam memeterai deklarasi menyokong penyingkiran Najib sebagai perdana menteri.
Penandatanganan lain termasuk bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir dan bekas Presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik.
#Majlis Tertinggi UMNO #Mohd Khusairi Abdul Talib #Najib Tun Razak #UMNO Bahagian Tanjung Malim
;