UMNO tak boleh biarkan Islam jadi tunggangan kelompok politik tertentu - Tok Mat

Firdaus Azil
Ogos 21, 2024 22:46 MYT
Tok Mat menggesa Islam tidak dijadikan sebagai barang dagangan politik ataupun bahan tunggangan semata-mata pihak tertentu. - Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: UMNO tidak boleh membiarkan Islam terus dirampas oleh golongan kelompok politik tertentu, yang merasakan agama itu adalah milik tunggal mereka semata-mata.
Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kelompok tersebut merasakan hanya mereka yang mempunyai ilmu, menilai apa yang Islamik dan apa yang tidak.
Tegasnya lagi, situasi menjadi lebih berbahaya apabila kelompok politik itu beranggapan mana-mana pihak atau individu yang tidak bersama dengan mereka, adalah seperti mengancam atau gagal mendukung Islam.
“Mereka sesungguhnya menggunakan Islam, untuk memecahbelahkan orang Melayu di negara ini. Malah menakut dan menjauhkan Islam, dari sanubari dan hormat golongan bukan Islam, terhadap agama suci ini.
“Kesannya, ummah berpecah, dan Islam pula menjadi lemah. Islam yang sebenar adalah Islam yang bukan milikan siapa-siapa. Ia rahmat Allah untuk seluruh alam,” katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda, dan Puteri UMNO 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, pada Rabu.
Justeru, Mohamad menggesa sayap-sayap UMNO untuk tidak memastikan perkara itu berterusan, dan harus lebih agresif menjelaskan pendirian parti dalam hal sedemikian.
“Bahawa Islam adalah agama yang suci, dan tidak pernah sesekali mengajar kita, untuk mengastakan keimanan dan keislaman seseoarang, menggunakan neraca politik. Dan yang lebih perlu dan penting, Islam mesti kita persembahkan secara berhikmah, moden dan intelektual.
“Bukan dengan jalan menghukum, mencerca atau membeza-bezakan manusia. Yang pasti, UMNO sangat layak untuk memberitahu orang Melayu, bahawa Islam adalah pendorong kemajuan bangsa Melayu, dan kebaikan negara,” tegasnya lagi.
Mohamad berkata, jasa UMNO dalam perkembangan syiar Islam tidak terhad di negara ini semata-mata, malah juga menjadi teladan kepada dunia apabila Malaysia di bawah terajunya dahulu telah membuktikan, bahawa Islam adalah solusi konkrit untuk pembangunan dan kesejahteraan negara.
Katanya lagi, UMNO yang membidani pengenalan sistem perbankan dan kewangan Islam termaju di dunia, selain mempelopori pendidikan Islam, yang seiring dengan pendidikan moden dan juga membangunkan pelbagai universiti dan sekolah berteraskan Islam.
“Kerana bagi UMNO, Islam bukanlah sekadar nama. Islam pembimbing dan pedoman untuk kita berubah dan berdaya saing. Hanya Islam yang boleh memberi inspirasi kepada kemajuan yang seimbang, antara keperluan manusiawi dan tuntutan rohani.
“Islam juga harus kita jadikan syiar yang mendorong Malaysia, menjadi sebuah negara yang meraikan kemajmukan. Semoga Islam di Malaysia ini, menjadi benar-benar inspirasi untuk sebuah negara yang mendapat limpah rahmat dan pengampunan Ilahi, insya-Allah.
“Dan bukannya dijadikan sebagai barang dagangan politik ataupun bahan tunggangan semata-mata,” katanya lagi.
#Mohamad Hasan #syiar Islam #UMNO #tunggangan politik
;