'UMNO tak akan tenggelam dalam lipatan sejarah' - Zahid

Sinar Harian
Mei 12, 2024 16:00 MYT
Ahmad Zahid berucap sempena Sambutan Ulang Tahun UMNO ke-78.
SHAH ALAM: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersumpah dan tekad untuk memastikan parti itu tidak akan tenggelam dalam lipatan sejarah.
Menurutnya, selaku presiden ke-8 yang mengambil alih tampuk kepimpinan ketika UMNO diuji, beliau tidak akan putus harap dan akan terus mengikhtiarkan agar parti itu tetap menjadi pilihan rakyat.


"Ada yang lari apabila diuji dengan kekalahan, ada yang khianat bila diugut lawan, ada yang rambang mata kerana ditawar jawatan.
"Di belakang MKT pula ada pemimpin di peringkat bahagian, sayap dan cawangan yang ditolak tak rebah, yang jatuh bingkas bangun semula. Di belakang pimpinan itu ada akar umbi yang teguh setia.
"Selagi saya di sini, akan saya pastikan perjuangan UMNO tidak sedikit pun tersasar. Saya akan pastikan UMNO ini 'direbus tak empuk, direndam tak basah'," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad sempena Sambutan Ulang Tahun UMNO ke-78.
Beliau menambah, sejak Pilihan Raya Umum ke-15, tiada satu pun cawangan UMNO dibubarkan atau terkubur dan ia menjadi perkara yang perlu disyukuri serta penghormatan harus diberikan kepada akar umbi parti.
Katanya, UMNO memerlukan pemimpin yang menampilkan idea segar dan bernas serta mengorak langkah sesuai anjakan perubahan politik semasa.
"Di era ini, persepsi lebih dipercayai daripada realiti. UMNO mesti menyesuaikan diri dengan persekitaran, mengekang fitnah dahsyat di media sosial," katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa barisan kepimpinan dan akar umbi menguasai platform media sosial untuk mencipta sentimen, naratif dan aura positif untuk dekati rakyat.
"Saya mahu lebih ramai pemimpin UMNO, bermula dari peringkat MKT (majlis kerja tertinggi) sehingga ke bahagian, ADUN (ahli dewan undangan negeri) dan Ahli Parlimen mula teroka 'dunia baharu' dan tidak lagi berada di takuk cara yang lama," katanya.
*Artikel disiarkan di Sinar Harian
#Sambutan Ulang Tahun UMNO ke-78 #Zahid Hamidi #UMNO tidak akan tenggelam #Presiden UMNO
;