UMNO sudah tidak percaya jika Hamidah buat 'U-turn' - Yusoff Kassim
Nazialita Geynna Maharan
September 17, 2017 17:21 MYT
September 17, 2017 17:21 MYT
Akar umbi UMNO Bahagian Batu Gajah tidak akan menghalang sekiranya bekas pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Datuk Hamidah Osman ingin membuat pusingan U dan kembali menyertai parti Melayu terbesar itu.
Ketua UMNO Bahagian Batu Gajah, Datuk Yusoff Kassim, bagaimanapun tidak menafikan bahawa kepercayaan terhadap bekas ketua Wanita UMNO bahagian Gopeng itu, di kalangan ahli peringkat akar umbi, sudah lama hilang.
Katanya, tindakan Hamidah yang sebelum ini menurut perasaan dan mudah terikut dengan pembentukan parti baru telah mematahkan sokongan ahli UMNO yang setia kepada parti, dan bukannya individu semata-mata.
"Kalau Hamidah nak masuk semula ke UMNO, silakan, tiada siapa menghalang. Tetapi saya berani katakan bahawa ahli UMNO Gopeng mungkin tidak akan memberinya kepercayaan lagi untuk memimpin parti yang ditinggalkannya.
"Inilah pengajaran paling baik kepada mereka yang membuat keputusan dengan memikirkan kepentingan sendiri. Masuk parti sana sini, dah putus asa baru nak keluar. Contoh ini tidak baik dalam etika berpolitik," kata Yusoff kepada Astro AWANI.
Dia yang telah menyertai UMNO sejak 1960 berkata, sebagai seorang veteran politik, beliau menasihatkan generasi muda agar tidak terpedaya dengan ideologi parti-parti baru yang ditubuhkan daripada serpihan UMNO.
Jelasnya, Hamidah merupakan bekas anak didiknya namun tindakannya keluar masuk parti dan mempengaruhi pemikiran ahli UMNO lain merupakan perjuangan yang tidak berpaksi, malah tidak wajar disokong.
"Kadang-kadang kita tidak sedar, bila kita masuk ke dalam parti untuk jawatan semata-mata, kita akan jadi lalai. Sedangkan, perjuangan itu sepatutnya untuk parti. Tetapi Hamidah mungkin dah kecewa dan putus asa. Senang cerita, dia letaklah jawatan.
"Lain kali, fikir dahulu keputusan itu kerana UMNO sedikit pun tidak terjejas dengan perletakan jawatannya dahulu. Jika kini Hamidah ingin kembali, silakan, tetapi mungkin bertanding mana-mana akan kalah," katanya lagi.
Hamidah pada Sabtu malam membuat pengumuman keluar dari PPBM melalui akaun Facebook miliknya dengan menunjukkan surat peletakan jawatan yang ditujukan kepada Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Setiausaha Agung PPBM Datuk Dr Shahruddin Md Salleh dalam satu kenyataan berkata, Majlis Pimpinan Tertinggi MPT parti itu bersetuju menerima keputusan yang dibuat Hamidah yang juga Naib Presiden parti itu.
Pada November 2015, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pemecatan Hamidah, yang juga bekas ketua penerangan Wanita UMNO, selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO.