'UMNO sudah hancur' - Tun M yakin Bersatu dapat perjuang nasib Bumiputera

Arfa Yunus, Wan Syamsul Amly, Rahimah Abdullah, Hilal Azmi
Disember 29, 2018 22:40 MYT
DR MAHATHIR: UMNO sudah hancur, dihancurkan oleh pemimpin yang tamak dan anggap manusia boleh dibeli dengan duit. -Bernama
Harapan sesetengah pemimpin UMNO untuk bergabung dengan parti lain bagi mendapatkan bilang kerusi secukupnya untuk mendirikan kerajaan campuran adalah satu "mimpi Mat Jenin".
Kata Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad, UMNO sudah dihancurkan oleh pemimpin yang tamak dan menganggap manusia boleh dibeli dengan wang.
Disebabkan itu, Bersatu ditubuhkan agar perjuangan melindungi dan memajukan orang Melayu dan Bumiputera dapat diteruskan.
"UMNO sudah hancur, dihancurkan oleh pemimpin yang tamak dan anggap manusia boleh dibeli dengan duit.
"Sebuah parti yang mulia, dibangun untuk menyelamatkan kaum bangsa Melayu, sekarang dikalah, dihina dan tidak terdaya dipulih semula.
"Malangnya, yang sebenar menjadi mangsa ialah orang Melayu, penduduk peribumi di negara bertuah ini. Mereka sudah hilang jaguh mereka," katanya
Jelas Dr Mahathir, kewujudan Bersatu adalah perjuangan ikhlas untuk peribumi dan keutamaan diberi kepada peribumi dalam negara yang berbilang kaum.
Tambahnya, Bersatu diwujudkan untuk memberikan perhatian kepada reformasi institusi bagi mengembalikan integriti di dalam pentadbiran negara.
Selain itu, katanya ia bagi mengembalikan semula demokrasi dan kedaulatan undang-undang yang telah dinafikan dan disalah guna.
#Mahathir Mohamad #mat jenin #peribumi #PPBM #selamat orang Melayu #UMNO #umno sudah hancur
;