UMNO serah sepenuhnya pada Perdana Menteri lantik jemaah menteri - Annuar Musa

Firdaus Azil
Mac 4, 2020 06:30 MYT
Annuar berkata, penentuan anggota Kabinet merupakan prerogatif Perdana Menteri walaupun UMNO kini mempunyai bilangan kerusi yang paling banyak dalam Perikatan Nasional - Gambar fail
UMNO menyerahkan sepenuhnya kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung soal pelantikan jemaah menteri, kata Setiausaha Agungnya, Tan Sri Annuar Musa.
Menurut Ahli Parlimen Ketereh itu, penentuan anggota Kabinet merupakan prerogatif Perdana Menteri walaupun UMNO kini mempunyai bilangan kerusi yang paling banyak dalam kerjasama politik baharu itu.
“Kita (UMNO) tidak boleh bercakap sesuatu yang dilihat seolah-olah meletakkan prasyarat (terhadap pelantikan Kabinet). Perdana Menteri mesti diberi kebebasan penuh untuk melantik jemaah Kabinet beliau.
“Saya pasti Perdana Menteri tidak mahu mengulang kembali kegagalan Kerajaan Pakatan Harapan serta impak dari kegagalan itu yang mengakibatkan lebih kesengsaraan kepada rakyat,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan delegasi MCA di Menara Dato’ Onn, di sini hari ini.
Annuar berkata, UMNO mengenali Muhyiddin sebagai seorang yang cukup berpengalaman dan parti itu yakin Perdana Menteri akan mempunyai pasukan Kabinet yang cukup kuat dan berpengalaman dalam mentadbir negara.
Saranan UMNO itu senada dengan rakan mereka dalam Muafakat Nasional, iaitu PAS yang hanya mengharapkan agar Perdana Menteri melantik jemaah Kabinet dari kalangan mereka yang berkelayakan dan berintegriti.
BACA: Jemaah Menteri: Pas tidak meminta, cuma mahu yang berintegriti - Hadi Awang
#Abdul Hadi Awang #Annuar Musa #Barisan Nasional #jemaah menteri #kabinet #kerajaan #menteri #Muafakat Nasional #Muhyiddin Yassin #Perikatan Nasional #politik #rakyat #UMNO