UMNO Selangor tolak peletakan jawatan Jamal
Bernama
Februari 13, 2017 22:51 MYT
Februari 13, 2017 22:51 MYT
UMNO Selangor hari ini sebulat suara menolak peletakan jawatan Datuk Seri Jamal Md Yunos sebagai Ketua UMNO Bahagian dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sungai Besar.
Pengerusi UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar berkata langkah itu dibuat selepas menilai segala sumbangan Jamal terhadap kelangsungan parti terbabit terutamanya semasa membantu memenangkan BN pada Pilihan Raya Kecil Sungai Besar, Jun tahun lepas.
Katanya, keputusan UMNO Selangor itu akan dikemukakan kepada Majlis Tertinggi (MT) parti untuk dipertimbangkan dan sebarang kata akhir mengenai hal tersebut tetap bergantung kepada majlis berkenaan.
"Jamal masih layak memegang jawatan itu malah tidak pernah melakukan kesalahan sehingga didakwa di mahkamah.
"Apa pun keputusan MT, kami tetap akur. Badan perhubungan negeri tiada kuasa dalam menentukan hal keanggotaan dan perkara yang berkaitan," kata Noh kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan UMNO Selangor di sini.
Sebelum ini, Jamal dilaporkan nekad dengan pendiriannya untuk melepaskan jawatan tersebut kerana tidak mahu membebankan UMNO susulan penahanannya berhubung insiden pencerobohan sebuah pusat hiburan pada Disember tahun lepas.
Dalam pada itu, mengulas mengenai catatan Twitter Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali baru-baru ini yang mendakwa ada menteri kanan telah meletak jawatan, Noh menyifatkannya sebagai 'kenyataan pemimpin khayal'.
Beliau berkata tindakan Mohamed Azmin itu sebenarnya tidak fokus dan tersasar kerana Anggota Parlimen Gombak itu 'terkejut' dengan keputusan beberapa wakil rakyat DAP Melaka yang meletak jawatan.
Kelmarin, Mohamed Azmin dalam catatan Twitternya mendakwa ada menteri kanan meletak jawatan kerana tidak mahu bersekongkol dengan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), namun disangkal Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
-- BERNAMA