UMNO Selangor tidak boleh halang anggotanya sertai Bersih 5

Bernama
November 18, 2016 20:59 MYT
Noh yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata kementerian dan Alam Flora Sdn Bhd akan membuat tuntutan kepada Bersih dan kumpulan Baju Merah selaku penganjur ke atas kos pembersihan sampah sarap. - Gambar fail
UMNO Selangor tidak berhak menghalang anggotanya untuk menghadiri perhimpunan di ibu negara esok, jika kehadiran itu adalah atas kapasiti sendiri dan anggota pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Tan Sri Noh Omar berkata kecuali larangan menjadi anggota kepada parti lain, Perlembagaan UMNO jelas menyatakan anggotanya bebas menyertai mana-mana pertubuhan atau mengetuai sesuatu NGO.
"Perkara ini perlu diasingkan, perlu difahami dan dibezakan antara anggota parti politik dengan ahli kepada sesuatu pertubuhan.
"Dalam hal ini kita (UMNO Selangor) jelas, betul Datuk Seri Jamal Md Yunos ialah Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar tetapi dalam masa yang sama dia juga menjadi ketua dalam NGO (Kumpulan Baju Merah)," katanya.
Noh berkata demikian dalam sidang media ketika ditanya apakah UMNO Selangor membenarkan anggotanya menyertai perhimpunan itu, sama ada mewakili Bersih atau kumpulan Baju Merah, selepas merasmikan Persidangan Kesihatan Persekitaran Peringkat Pihak Berkuasa Tempatan di kementeriannya di sini, hari ini.
Anggota Majlis Tertinggi UMNO itu berkata beliau hanya mempunyai hak dan kuasa untuk menghalang Jamal selaku ketua kumpulan Baju Merah, sekiranya cuba mengheret atau memaksa anggota UMNO bersama-samanya menyertai perhimpunan tersebut.
"Tetapi kalau sekadar kata ada anggota UMNO yang menjadi ahli kepada NGO diketuai Jamal, saya tidak boleh halang sebab mereka pergi atas kapasiti sebagai anggota NGO, bukan anggota parti, ini yang kita perlu jelas, katanya.
Noh yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata kementerian dan Alam Flora Sdn Bhd akan membuat tuntutan kepada Bersih dan kumpulan Baju Merah selaku penganjur ke atas kos pembersihan sampah sarap yang ditinggalkan peserta di lokasi perhimpunan.
Apabila kuantiti sampah terlalu banyak tentunya kos penyelenggaraan dan kutipan oleh syarikat konsesi akan meningkat dan bil bagi setiap kos itu akan dihantar kepada penganjur selepas penilaian dibuat, katanya.
Berhubung persidangan itu, Noh berkata persidangan tahunan yang disertai 300 peserta daripada kalangan ahli akademik, NGO dan wakil PBT itu bertujuan mengenal pasti masalah berhubung kebersihan alam sekitar dan merangka garis panduan serta resolusi untuk perhatian kementerian bagi dibawa kepada Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT).
Katanya sebanyak 11 kertas kerja mengandungi cadangan garis panduan bertujuan mewujudkan persekitaran kesihatan yang baik telah dibentangkan yang perlu diberi perhatian oleh semua PBT untuk diperincikan sebelum dibawa ke MNKT. - BERNAMA
#Bersih 5 #Jamal Yunos #Noh Omar #UMNO Selangor
;