UMNO Selangor perlu kerja keras 'tawan' semula hati rakyat

Bernama
November 6, 2014 13:11 MYT
UMNO Selangor perlu kerja keras 'tawan' semula hati rakyat
Teguran Presiden Umno kepada Umno Selangor seharusnya menjadi pendorong kepada parti itu untuk bekerja keras dan membina kekuatan mendapatkan sokongan padu rakyat, kata Ketua Umno Bahagian Shah Alam Azahari Shaari.
Azahari berkata teguran Datuk Seri Najib Tun Razak adalah satu cabaran dan tanggungjawab yang perlu dipikul oleh setiap jentera Umno Selangor sebagai persediaan dalam menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
"Kemungkinan dilihat pemimpin sedia ada sudah tidak relevan dan pucuk kepimpinan perlu memikirkan bagaimana untuk memberi harapan baharu kepada pengundi di Selangor," katanya kepada Bernama.
Sabtu lepas, Perdana Menteri semasa merasmikan Konvensyen Umno Selangor berkata Umno Selangor perlu berani mengatur strategi baharu dan membuat perubahan minda jika mahu menawan semula negeri ini.
Najib menggariskan tiga realiti yang perlu diterima Umno Selangor iaitu kedudukan Umno sebagai pembangkang di Selangor, kedudukan strategik Selangor sebagai pusat sosio-ekonomi yang rancak dan ia perlu berusaha menawan sokongan pengundi bandar dan semi bandar.
Azahari berkata untuk menarik kembali sokongan dan keyakinan pengundi Selangor, jentera Umno di negeri itu harus bersedia untuk menerima perubahan dan bekerjasama antara satu sama lain.
Beliau berkata meskipun terdapat gabungan antara pemimpin baharu dan lama, pucuk kepimpinan parti perlu menilai semula sama ada barisan kepimpinan sekarang masih releven atau tidak.
"Sekarang ini ada keseimbangan antara pemimpin lama dan baharu tetapi majoritinya adalah orang lama. Kita tiada masalah sekiranya ada perubahan yang ingin dibuat dan kita akur kepada arahan itu. Yang jelas kita akan pastikan bahawa kita akan bekerja untuk membawa hasil yang positif," katanya.
#azahari #najib #relevan #Selangor #strategi #UMNO
;