UMNO Selangor nafi tolak Ahmad Zahid
Rahimah Abdullah
Disember 6, 2019 18:12 MYT
Disember 6, 2019 18:12 MYT
UMNO Selangor menafikan desas-desus mengatakan mereka menolak kepimpinan Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Sebaliknya, menurut Ketua UMNO Bahagian Bangi, Datuk Mohd Zaidi Md Zain menegaskan, UMNO negeri itu tetap berdiri teguh di belakang pemimpin itu.
Justeru beliau menyifatkan dakwaan pihak berkenaan yang membuat tuduhan berkenaan sebagai satu niat jahat.
"Di sini saya nak sahkan bahawa desas-desus bahawa UMNO Selangor ini tak sokong Presiden itu adalah permainan berniat jahat.
"Tak berlaku di Selangor (seperti didakwa). Kami hanya ada satu Presiden, hanya satu Pengerusi Perhubungan, satu ketua bahagian dan satu ketua cawangan," katanya semasa mencadangkan usul ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini pada Jumaat.
Malah katanya, UMNO Selangor menyokong penuh Presiden tanpa sikap berbelah bahagi.
Ujar beliau, Ahmad Zahid masih merupakan pemimpin yang tepat untuk UMNO.
"Dalam keadaan tekanan waktu ini, bukan rahsia lagi bahawa presiden dan pimpinan lain diberi tekanan hebat oleh kerajaan. Dengan pertuduhan tak masuk akal dan lebih 80 pertauduhan ke atas presiden.
"Kalau manusia biasa, ketahanannya mungkin tak kuat atau mungkin rebah. Namun tekanan itu menunjukkan presiden untuk kita mara ke hadapan," ujar beliau.