UMNO Selangor mahu terus kerjasama dengan Pas, perkukuh MN
Eton Khir
Januari 23, 2022 21:21 MYT
Januari 23, 2022 21:21 MYT
KUALA LUMPUR: UMNO Selangor akan meneruskan kerjasama dengan Pas bagi mengukuhkan Muafakat Nasional (MN) di negeri itu.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, beliau masih berpegang kepada keputusan Perhimpunan Agung UMNO lalu untuk mempertingkatkan kerjasama dalam MN.
Ahli Parlimen Tanjong Karang itu berkata, situasi tersebut berbeza dengan negeri lain kerana kerjasama antara kedua-dua parti itu di Selangor dilihat lebih kukuh.
"Saya nak tekankan bahawa kami di Selangor ini mungkin berbeza sedikit daripada negeri lain sebab di Selangor, UMNO dan juga Pas adalah pembangkang. Apabila kami sama-sama menjadi pembangkang, suara kita sama.
"Setakat hari ini, Selangor masih berpegang kepada keputusan usul yang dibuat oleh Perhimpunan Agung UMNO yang lepas untuk mempertingkatkan kerjasama di bawah MN.
"Walau bagaimanapun, sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, saya tidak mahu komen lebih kerana itu adalah bidang kuasa pimpinan parti dan saya akan akur dengan apa jua keputusan yang dibuat (di peringkat pusat)," katanya selepas Majlis Pelancaran Koperasi KIPIDAP Malaysia Berhad pada Ahad.
Sebelum ini, UMNO Kelantan membuat keputusan untuk membawa hala tuju sendiri dan tidak lagi bekerjasama dengan Pas menerusi MN di negeri itu.