UMNO sekarang berjuang untuk duit, untuk jadi Perdana Menteri - Tun Mahathir
Rahimah Abdullah
Ogos 29, 2022 07:00 MYT
Ogos 29, 2022 07:00 MYT
KUALA LUMPUR : Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan UMNO pada masa sekarang hanya berjuang untuk wang dan jawatan Perdana Menteri.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, ia jauh berbeza dengan perjuangan UMNO dahulu yang lebih mengutamakan bangsa, negara dan agama.
"UMNO dahulu berjuang untuk bangsa, negara dan agama. UMNO yang ada sekarang ini berjuang untuk duit, untuk nak jadi Perdana Menteri, berjuang untuk menipu. Itulah hasrat mereka dan kita perlu lawan mereka sehingga kita menang," katanya semasa berucap pada Majlis Makan Malam Amal Putra Bersama Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Dr Siti Hasmah Sempena Sambutan Hari Kemerdekaan Yang Ke-65 di Ampang pada Isnin.
Dalam pada itu katanya, sebuah parti boleh menang pilihan raya dengan lebih 50 peratus kerusi Dewan Rakyat jika hanya dua parti sahaja yang bertanding.
"Maknanya, satu parti akan menang, satu parti akan kalah. Di mana-mana kita lihat, negara demokratik yang berjaya , mereka cuma tubuh dua buah parti sahaja.
"Kita tahu keadaan di United Kingdom umpamanya ada Parti Konservatif dan ada Parti Buruh . Di Amerika Syarikat ada Parti Demokrat dan Republikan.
"Namun, di Malaysia ini, apabila mereka nampak boleh dapat wang dalam politik, mereka menubuhkan parti kerana bukan untuk berkhidmat untuk bangsa, negara dan agama, tetapi berkhidmat untuk duit," ujarnya lagi.
Sementara itu, parti Pejuang yang diterajuinya mempunyai matlamat untuk menjadi tonggak kepada suatu gerakan orang Melayu.
Malah kata Dr Mahathir, Pejuang dan Gerakan Tanah Air (GTA) mempunyai "plan B" jika ada yang menghalang mereka untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum nanti.
"Saya percaya kita akan berjaya sebab kita berjuang untuk negara, bangsa dan agama kita. Semangat kita tetap dan bukan kerana duit. Pihak sebelah satu lagi bergantung kepada duit.
"Namun, kerana "orang itu" ada di dalam (penjara), maka susah sikitlah nak bagi duit. Namun, akan cubalah," ujarnya lagi.
Dr Mahathir juga menyifatkan Datuk Seri Najib Razak berjaya mencipta 'kejayaan' dengan menjadikan sesetengah orang Melayu suka meminta duit daripada orang.