'UMNO sedia ubah keputusan pecat Muhyiddin' - Mohamad Hasan

Astro Awani
Julai 24, 2020 15:10 MYT
Mohamad yang juga Adun Rantau turut berkata Muhyiddin merupakan calon perdana menteri PRU15 yang layak ekoran penerimaan rakyat yang baik sepanjang menggalas jawatan itu. - Gambar Fail
UMNO boleh mengubah semula keputusan pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 2016 dan menerimanya semula ke dalam parti, kata timbalan presiden parti itu Datuk Seri Mohamad Hasan.
Dalam satu temubual bersama portal Malaysia Post, Mohamad berkata UMNO boleh mengubah keputusan tersebut sekiranya Muhyiddin berhasrat untuk kembali ke pangkuan parti terbesar orang Melayu itu.
Menurut Mohamad, jika perdana menteri itu berbuat demikian, ia akan memudahkan banyak perkara antaranya pembahagian kerusi pilihan raya kelak.
“Kalau ada hasrat kembali kepada parti, kita boleh mengubah semula keputusan memecat beliau. Kami mengalu-alukan jika ada hasrat Tan Sri (Muhyiddin) hendak kembali ke UMNO, lebih baik begitu.
“Beliau akan jadi Perdana Menteri yang didukung parti yang besar dan mempunyai ramai Ahli Parlimen, jadi lebih mudah dan lebih senang.
“Untuk hadapi Pilihan Raya Umum (PRU) pun tiada masalahnya, misalnya dari segi pembahagian kerusi,” katanya.
Pada 24 Jun 2016, Majlis Tertinggi (MT) UMNO memutuskan untuk memecat Muhyiddin yang ketika itu merupakan timbalan presiden parti berkuat kuasa serta-merta.
Presiden UMNO ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dilaporkan berkata tindakan itu dipersetujui sebulat suara oleh MT UMNO kerana pelanggaran disiplin, iaitu berada di pentas bersama pembangkang menyerang pimpinan dan parti.
Sementara itu, Mohamad yang juga Adun Rantau turut berkata Muhyiddin merupakan calon perdana menteri PRU15 yang layak ekoran penerimaan rakyat yang baik sepanjang menggalas jawatan itu.
Tambah Mohamad, dia juga secara peribadi tiada masalah dengan pencalonan Muhyiddin itu.
"Mengapa tidak kita ambil peluang untuk menamakan beliau sebagai calon perdana menteri untuk Muafakat Nasional (MN) atau Perikatan Nasional (PN), tak ada isu.
"Yang penting kita dapatkan kemenangan yang selesa,” katanya.
#majlis tertinggi #Mohamad Hasan #MT #Muafakat Nasional #Muhyiddin Yassin #Najib Razak #pecat #Perikatan Nasional #PRU15 #terima #UMNO
;